rap

Baby Shima 'tak over' okey...

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Okey lagi tu, saya duduk atas Kak Long 7E, daripada duduk atas Aliff Syukri," kata penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima terhadap segelintir netizen yang mengecamnya gara-gara video Tik Tok dihasilkan bersama usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.

Terdahulu, tular rakaman video Tik Tok membabitkan Baby Shima yang memakai baju sekolah duduk di atas belakang Kak Long 7E yang merangkak seperti haiwan, berserta Aliff seolah-olah berada di dalam sebuah kelas.

Baby Shima berkata, dia dan Kak Long 7E sudah berbincang terlebih dulu sebelum mereka melakonkan semula satu babak di dalam filem Musang Berjanggut itu untuk dimuatkan sebagai 'content' Tik Tok.

"Sebenarnya, saya dan Aliff berpakaian sekolah itu bagi menyiapkan rakaman muzik video untuk single duet terbaharu kami, Baby Sayang yang akan dilancarkan pada 17 Ogos ini.

"Selepas rakaman muzik video selesai, kami buat pula 'content' Tik Tok dengan melakonkan semula satu babak filem Musang Berjanggut. Malah, penampilan Kak Long 7E dalam video itu pun bukan sebagai guru," katanya kepada Harian Metro.

Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli berkata dia tak faham kenapa segelintir netizen suka menjadikannya isu dan terus mengecam dirinya bertali-arus dengan bermacam dakwaan tidak berasas.

"Sebelum ini, saya bergelek pun dikecam teruk. Saya adalah penyanyi dangdut dan bergelek itu perkara normal. Tapi, saya didakwa pula beraksi lucah dan sebagainya dengan bermacam hinaan serta kecaman yang dilemparkan.

"Apapun, saya dapati tindakan segelintir netizen yang selalu menghina dan mengecam ini bukanlah peminat dangdut atau peminat saya sendiri. Jika tidak, mereka pasti dah tahu saya bagaimana," katanya lagi.

Mengulas juga perasaan keluarganya dengan kontroversi demi kontroversi yang tercetus, Baby Shima berkata dia bersyukur, mereka amat memahami kerjayanya sebagai selebriti.

"Keluarga tahu, saya bekerja dalam industri hiburan. Malah, mereka juga tidak ada kena-mengena dengan kritikan yang diterima. Bahkan, saya pun dah lali dengan semuanya dan tak peduli dengan kecaman netizen," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2022 @ 3:25pm
d