rap

Alif Satar tolak aksi terlampau mesra

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Alif Satar tidak akan melakukan babak berpelukan atau aksi terlampau mesra bersama pelakon gandingan dalam setiap karya yang dibintangi.

Alif yang baru saja membintangi drama Bisik Pada Hati di samping aktres Ummi Nazeera dan Zara Zya berkata, setiap adegan berat tidak semestinya perlu dilakukan dengan babak-babak yang boleh mengundang kontroversi atau kecaman.

"Sebagai individu yang mengamalkan ajaran Islam dan baru saja selesai bekerjasama dengan Ummi dan Zara, naskhah yang dibintangi adalah bukti yang kami tidak perlu melakukan babak yang berlebih-lebihan untuk merealisasikan watak sebagai pasangan suami isteri.

"Walaupun babak suami isteri agak rumit untuk dibawakan, ditambah pula ada babak malam pertama membabitkan saya dan Zara, namun semuanya boleh di atasi dengan simbol atau dialog untuk memberi imaginasi kepada penonton.

"Mungkin komen saya ini akan ada yang mengatakan saya acah-acah alim, tapi terpulang kepada pendirian pelakon lain. Saya tidak menghakimi dan kalau mereka rasa itu adalah keputusan terbaik, silakan.

"Cuma ini adalah pendirian saya dan apa yang boleh saya buat. Setakat pegang tangan ketika babak sambut pelakon wanita yang terjatuh saya rasa tiada masalah kerana masih berlapik dan babak itu memang perlu dilakukan sebegitu," katanya.

Menurut Alif, pengarah adalah tunggak utama dalam menentukan limit kepada setiap pelakon bagi menjayakan watak yang dipertanggungjawabkan.

"Sekarang ini penonton kita sangat Islamik dan tahu soal batas. Kita boleh tahu dengan hanya membaca komen-komen netizen di media sosial apabila kurang senang dengan babak-babak yang dianggap keterlaluan.

"Tidak dinafikan saya seboleh mungkin nak berikan persembahan yang terbaik dalam menghidupkan sesuatu karakter tapi hakikatnya saya kena fikir risiko pada masa depan, lebih-lebih lagi saya sudah berkeluarga dan ada anak-anak yang semakin membesar," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2022 @ 2:38pm
d