rap

Shadan Hashim puas hati ibu mentua gembira...

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kutipan RM2 juta yang sudah diperoleh ketika ini kerana nak melihat ibu mentua saya, Raja Azmi 'happy'," kata pengarah dan penulis skrip filem Jerangkung Dalam Almari, Shadan Hashim.

Shadan dihubungi berkata, dia juga berasa amat teruja sewaktu menghasilkan skrip Jerangkung Dalam Almari itu kerana sudah membayangkan kegembiraan pada raut wajah ibu mentua tersayang.

"Saya tiada ibu dan bapa. Jadi, memang menumpang kasih sayang sepenuhnya daripada keluarga mentua. Apatah lagi, saya sudah bersama-sama dengannya (ibu mentua) terbabit dalam industri hiburan ini sejak menghasilkan animasi Anak-Anak Sidek dulu.

"Jadi, saya memang nak sangat lihat ibu mentua 'happy' dan dapat berkongsi kejayaan ini bersama seisi keluarga kami.

Bahkan, ketika filem Jerangkung Dalam Almari berjaya mencatat kutipan RM1 juta dan penonton juga menerima baik karya ini, saya tak boleh gambarkan kegembiraan dalam hati yang dirasai.

"Ditambah, melihat wajah ibu mentua saya yang sangat 'happy' kerana sasaran kutipan awalnya tercapai, saya jadi hilang kata-kata. Ketika itu, saya memang nak sangat dia (Raja Azmi) rasa gembira," katanya kepada Harian Metro.

Shadan yang terharu apabila filem Jerangkung Dalam Almari kini masih mendapat tayangan minggu ketiga di sebahagian pawagam berkata, inilah dinamakan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

Difahamkan juga, filem pertama terbitan produksi Akid Productions Sdh Bhd milik Raja Azmi yang diedarkan Empire Film Solution Sdn Bhd itu, kini masih boleh ditonton orang ramai di 60 lokasi pawagam termasuk di negara jiran, Brunei dan Singapura.

Mengangkat kisah seram atau mistik yang amat dekat dengan masyarakat di Malaysia, Shadan berkata, walaupun sekarang sudah masuk tahun 2022, tapi perihal ilmu hitam ini tidak pernah berakhir dan masih lagi wujud dalam kalangan komuniti.

Sehubungan itu, filem Jerangkung Dalam Almari yang ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 4 Ogos lalu dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 3:12pm
d