rap

'Memang rugi tapi ia juga rahmat Allah' - Nabil Ahmad

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad bersetuju dengan pendapat netizen yang mengatakan dia dan keluarganya terhindar dengan perkara melalaikan apabila terlepas menyaksikan konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Nabil ketika dihubungi berkata, kesilapan melihat tarikh konsert itu semalam dianggap sebagai satu rahmat.

"Itulah ramai yang komen benda itu 'lagha' (melalaikan). Saya pun rasa benda yang sama. Memang Allah nak mengelakkan kita daripada bersama dengan benda-benda macam itu.

"Sebenarnya saya beli tiket di bahagian tempat duduk yang dikatakan jauh dari pentas. Kami pun tak pernah tengok konsert, selalu hanya ke pementasan Disneyland bersama anak-anak.

"Jadi bila mereka dah besar, saya nak ajak mereka merasai konsert artis antarabangsa. Lagipun ini bakal menjadi pengalaman pertama kami sekeluarga. Saya sendiri pun sebenarnya nak melihat cara produksi antarabangsa bekerja dan bagaimana mereka mengendalikan konsert itu.

"Tidak dinafikan banyak komen yang saya terima menyatakan Allah melindungi saya sekeluarga dan itu juga peringatan untuk saya," katanya.

Menurut Nabil, dia menyangka konsert penyanyi yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy berlangsung selama dua malam.

"Ya Allah betul saya tak perasan tarikh sebab benda itu tak berapa penting. Saya beli kelmarin sebab anak-anak yang nak. Anak ada beritahu kawannya pergi pada Khamis, jadi saya menyangka tiket kami untuk Jumaat. Saya sebenarnya terkeliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat," katanya.

Terdahulu, Nabil mendedahkan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,540, namun bersyukur kerana seolah-olah petanda yang Allah melindungi mereka sekeluarga daripada perkara melalaikan.

Disiarkan pada: August 19, 2022 @ 6:17pm
d