rap

Adi Putra tetap dengan pendirian tidak ke Jakarta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya masih berpegang prinsip untuk tak hadir di sana (Jakarta) melainkan ada pihak pengedaran dan pihak penganjur dari Indonesia yang menjemput saya untuk hadir, insya-Allah saya akan hadir mengikut ruang dan waktu saya."

Demikian kata pelakon Datuk Adi Putra ketika ditanya sama ada dia bakal menghadiri Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini.

Adi, 41, berkata sehingga sekarang pihak syarikat penerbitan, Studio Kembara masih bersikap 'silent mode'.

"Sampai sekarang mereka 'silent mode' sebab selepas 11 kali mereka hubungi saya, saya tak jawab sebab terkilan. Saya terkilan kerana cuba menghubungi mereka selama dua minggu. Saya  tak menyimpan hati tapi minta maaf dan berlapang dada. Namun, sampai sekarang belum hubungi saya lagi.

"Saya berlapang dada kerana kita harus bersikap profesional dan berkata benar. Saya mendoakan supaya 26 Ogos nanti semoga filem Mat Kilau mendapat perhatian besar di sana," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Adi Putra ditemui pada Majlis Pra Tonton Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di sini, hari ini.

Menurut Adi, dia masih terkilan dengan sikap pihak penerbitan yang disifatkan gagal berkomunikasi dengan baik.

"Perasaan tepat untuk menggambarkan adalah terkilan. Setiap manusia tidak sempurna dalam masa sama saya hormati penerbit, ikut dan buat seperti diamanahkan dalam kontrak.

"Kita dah sempurnakan tanggungjawab. Dah galas dan saya sendiri secara peribadi seperti dikatakan tadi manusia tak sempurna ada perasaan seperti gembira, sedih dan terkilan," katanya.

Ditanya sejauh mana kesediannya untuk membintang filem Mat Kilau 2 seperti yang dicanang sebelum ini, Adi masih mempertimbangkan perkara itu.

"Filem Mat Kilau 2 saya akan pertimbangkan. Komunikasi sangat penting. Komunikasi akan pergi pada diskusi.

"Jadi, saya akan pertimbangkan sewajarnya. Setiap pengajaran akan ada hikmah terbit sebagai satu iktibar. Saya nak menyatakan untuk laksanakan itu tidak," katanya.

 

Disiarkan pada: August 22, 2022 @ 9:06pm
d