rap

Ayda Jebat tak mau pegang-pegang, sentuh-sentuh lagi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: "Kadang-kadang bila tengok cerita membabitkan pelakon yang sudah berkahwin dan buat aksi-aksi tak sepatutnya ataupun melampau, terfikir juga bagaimana agaknya penerimaan pasangannya?" kata pelakon, Ayda Jebat, 30, yang sudah tidak mahu lagi melakonkan aksi mesra atau bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Ayda berkata, tidak ada keperluan untuk dia melakukan aksi sedemikian terutama selepas dia kini adalah isteri dan ibu.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, babak terlebih mesra atau keterlaluan tidak semestinya perlu ada dalam filem atau drama bagi memberi impak tertentu.

"Memanglah saya seorang pelakon, tapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu itu perlahan-lahan sudah dipegang. Saya sudah tidak perlu cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau berpegangan tangan dengan lelaki.

"Era itu sudah berlalu dan saya kena didik peminat dan penonton di mana kita tidak perlukan filem sebegitu. Banyak saja filem atau drama seperti dari Korea Selatan yang tak perlu babak bersentuhan tapi masih buat kita senyum dan berbunga-bunga," katanya.

Ayda juga merasakan babak sedemikian juga satu penderaan mental buat peminat.

"Bila mereka menontonnya, mereka tak rasa apa-apa? Tak rasa bersalah bila tengok idola atau artis kesayangan mereka buat aksi sebegitu?" katanya.

Menurut isteri kepada pengacara Nabil Mahir itu, berlakon bukannya kena buat sesuatu yang tular seperti perlu bercinta.

Baginya gimik itu boleh, tapi tak perlu yang melampau.

"Sekarang ini saya bukan bawa nama Ayda Jebat saja tapi saya juga bawa nama suami dan nama keluarga. Jadi, malulah. Mungkin dulu saya pun tak bagus, tapi selepas ini saya sudah tak nak," katanya.

Dalam pada itu, Ayda yang ditemui di sidang media program Awesome Raja Lawak bakal menduduki kerusi juri tetap program itu bersama pelawak tersohor, Saiful Apek dan Khir Rahman.

Ayda berharap pembabitannya dalam program itu bakal membantu berkongsi ilmu kepada peserta yang bertanding untuk pergi jauh dalam industri hiburan.

Disiarkan pada: August 26, 2022 @ 2:31pm
d