rap

Aksi 'real' Abang Long Fadil 3

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Dari segi letupan dan kereta yang diletupkan juga adalah betul."

 

Demikian kata pengarah, Syafiq Yusof mengenai babak letupan yang terdapat dalam filem Abang Long Fadil 3 yang bakal ditayangkan bermula 8 September ini.

 

Syafiq, 30, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Mohd Yusof berkata, siri ketiga daripada francais filem Abang Long Fadil itu menelan kos keseluruhan RM6 juta.

 

"Bagi filem Abang Long Fadil 3 ini, teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang digunakan tak banyak antara 25 hingga 30 peratus saja. Letupan dan kereta digunakan semua betul. Cuma kereta beli yang 'second hand', tapi itu dikira kos juga. Macam kereta BMW hampir RM30,000 dan yang Volvo pun sama.

 

"Sewaktu penggambaran membabitkan babak letupan, soal keselamatan terutama pelagak ngeri kami adalah nombor satu. Pasukan Bomba memang ada walaupun membabitkan babak letupan kecil. Begitu juga dengan pasukan Paramedik, polis dan polis trafik kena ada.

Mereka semua banyak membantu melancarkan file ini," katanya kepada Harian Metro.

 

Menurut Syafiq, melihatkan hasil dan maklum balas diterima selepas tayangan filem itu, dia berasa kos RM6 juta itu berbaloi termasuk barisan pemilihan pelakon.

 

"Pelakon, saya rasa yang ketiga ini saya harus, macam kalau masak nasi goreng tu kena panaskan lagi, kalau biarkan ia akan sejuk. Jadi untuk Abang Long Fadil 3 ini, saya kena tukar konsep, tambah artis. Pendek kata, nilai komersial itu perlu ditambah. Kalau tak, filem ini tak bagus.

 

"Melihatkan hasilnya, ia berbaloi. Bukan saja dari segi lakonan dan persembahan, tapi juga dari segi komitmen selepas penggambaran iaitu promosi, komitmen mereka sangat berbaloi," katanya.

 

Abang Long Fadil 3 menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.

 

Filem terbitan oleh penerbit gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw ini menjanjikan lebih padat aksi memukau, komedi pecah perut, barisan pelakon terkenal serta kualiti produksi yang boleh dibanggakan.

 

Filem Abang Long Fadil 3 akan mengadakan sesi jelajah yang turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon pada 9 hingga 11 September di bahagian Selatan dan 16-18 September di sebelah Utara.

Disiarkan pada: August 27, 2022 @ 12:14pm
d