rap

Shahir nikah 2 September ini

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Shahir Zawawi bakal bernikah dengan tunangnya, Jaskin Jaludin, 30, di Subang Jaya, pada 2 September ini.

Shahir, 34, atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi berkata, dia berdebar untuk melangkah ke fasa seterusnya selain bakal menjadi ketua keluarga.

"Perasaan saya ketika ini sudah tentu berdebar-debar. Sebab nak pergi ke satu fasa yang juga alam kehidupan baru yang selama ini kita bersendirian, tapi kali ini nak berdua dan berteman. Selain itu masuk dalam keluarga baru.

"Jadi saya perlu sesuaikan diri, membawa diri, dalam masa sama nak pikul tanggungjawab yang lebih besar. Saya kira banyak perkara lagi yang perlu dilalui," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shahir, segala persiapan sudah dilakukan biarpun dibuat dalam tempoh singkat.

"Sekarang ini saya lebih kepada berdoa, semoga Allah permudahkan segala urusan. Persiapan saya buat ini banyak dalam masa singkat untuk majlis kahwin ni. 

"Bagi saya, majlis ini lebih pada nak halalkan hubungan dan dalam masa sama moga Allah permudahkan," katanya.

Shahir dan pasangannya juga bakal diraikan pada majlis persandingan yang diadakan pada 3 September di lokasi sama.

Terdahulu, Shahir mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu di kediaman wanita itu di Tawau, Sabah.

Disiarkan pada: August 29, 2022 @ 8:55pm
d