rap

'Mak mentua tak bagi masak, buat kerja rumah'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat tidak berdepan 'pengalaman buruk' tinggal bersama mentua.

Ayda, 30, atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, dia bersyukur kerana sepanjang perkahwinan dengan suami, Nabil Mahir dia diberikan layanan baik selain tidak dibenarkan untuk melakukan kerja rumah.

"Tinggal dengan mentua, bagi saya tak ada pro dan kontra. Tak tahu pula orang lain. Tapi saya sangat suka. Mungkin sebab Nabil dia memang dulu kata 'tolonglah jangan dapat isteri macam ibunya', sekali dapat saya. 

"Saya memang sekepala dengan mak dia, perangai kami sama, tak masak. Mak mentua jenis tak kisah, kalau saya di dapur dia akan cakap, 'buat apa di dapur ni'. Kalau nak kemas-kemas, dia cakap tak perlu, sebab pembantu pun ada. Mungkin orang lain pengalaman berbeza.

"Lagi pula, sebelum kahwin pun, Nabil cakap dia jenis 'family person'. Saya suka dan okay saja. Saya punya keluarga bukan begitu, sebab habis belajar kan saya sudah duduk sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ayda ditemui pada majlis pembukaan kedai barangan bayi Chicco dan pelancaran kereta sorong bayi One4Ever di Chicco IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Ayda, dia bersyukur rezekinya semakin mencurah selepas kehadiran Ana Nayla.

"Alhamdulillah, biarpun dah lama tak berlakon, saya sangat bersyukur, selepas bersalin rezeki semakin mencurah. Benarlah orang katakan anak pembawa rezeki.

"Saya menjadi duta kepada beberapa jenama. Ada juga jenama yang dah lama dengan saya dan mereka memperbaharui kontrak kerana mereka senang bekerjasama dengan saya.

Seperti acara kali ini, saya menjadi teman selebriti VIP untuk jenama Chicco yang memang saya gunakan semenjak anak saya lahir," katanya.

Dalam masa sama, Ayda teringin untuk menambah cahaya mata kedua memandangkan anak sulungnya itu bakal menginjak usia setahun pada 21 September ini.

"Saya bersedia saja bila-bila masa nak tambah anak. Kalau boleh nak sekarang. Bukan apa, saya dah lama tidak 'shoot'. Dengan Ana Nayla pun dah hampir dua tahun berehat kerana mahu melihat dia membesar dulu. 

"Jadi, kalau nak tunggu anak kedua selepas kembali bekerja akan susah sikit sebab saya memang takkan 'shoot' kalau sedang hamil. Namun, disebabkan saya bersalin secara pembedahan, jadi kena ambil masa sikit kalau nak mengandung lagi," katanya.

 

Disiarkan pada: August 30, 2022 @ 2:25pm
d