rap

'Saya tak fikir nak tuntut apa-apa' - Amir Shah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya nak tuntut pun itu 'brader-brader' (abang-abang) saya. Ia lebih kepada sentimen di situ," kata Amir Shah Daud, penganjur konsert Apologia Search & Awie yang dua kali ditunda akibat pandemik Covid-19 pada 2020. 

Menurutnya, jika mengikut dari segi bisnes, sekiranya dia sudah membayar orang tetapi orang itu tidak melakukan kerja lagi atau mengundur diri, mesti ada sesuatu yang perlu diselesaikan.

Bagaimanapun dia tidak berhasrat mengambil tindakan lanjut kerana perasaan hormat terhadap mereka yang menjadi idolanya sejak dahulu. 

"Semua pihak pun tak sangka yang konsert ini tak jadi kenyataan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penundaan pertama berlaku lagi dua minggu sebelum ia berlangsung di The Bee, Publika pada 28 Mac. 

"Selepas itu kami buat sidang media kedua dan umumkan konsert terbabit akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam dengan nama baru Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember pula.

"Namun kami terpaksa menunda sekali lagi kerana masalah Covid-19 yang semakin kronik ketika itu," katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Resolusi Exists di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini, semalam. Amir yang kini menganjurkan Konsert Resolusi Exists berkata, dia tidak boleh membatalkan konsert Apologia atau nama baharunya Cinta Buatan Malaysia kerana peminat sudah tahu mengenainya.

"Pertamanya tiket 60 peratus dah terjual. Saya mulanya rancang nak buat tahun ini tapi bila semak dengan artis memang tak dapat kerana kesibukan masing-masing. 

"Kena ikut perancangan asal kerana ada peminat Datuk Awie dan ada peminat Din dan Kid (Search) dalam konsert ini. 

"Saya tak boleh ubah sebab peminat Datuk Awie pun ramai yang beli. Saya cakap kalau tak dapat dibuat juga terpaksa pulangkan semula duit tiket," katanya. 

Menurutnya, dia membayangkan tahun depan akan dapat mengadakan semula konsert ini. 

"Insya Allah okey. Saya akan bincang dengan Awie. Banyak perkara nak dibincangkan untuk dapat kata putus. Tengok jalan penyelesaiannya dan dari situ baru dapat jawapan. 

"Saya juga faham Nasir juga kini tak lagi bersama Din dan Search. Sebagai penganjur itulah yang perlu saya tanggung. 

"Biarpun konsert belum berlangsung, saya tak boleh minta mereka pulangkan deposit dan dikira hangus," katanya yang kerugian lebih RM200,000 setakat ini. 

Disiarkan pada: August 30, 2022 @ 2:52pm
d