rap

'Stesen TV patut naikkan bayaran' - Yusof Haslam

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Harga yang dibayar, adalah harga 30 tahun dahulu!". Demikian kata penerbit dan pelakon, Datuk Yusof Haslam mengulas mengenai isu bayaran daripada stesen TV kepada penerbit drama tempatan.

Yusof berkata, harga yang ditawarkan tidak masuk akal dalam era sekarang walaupun selepas tiga dekad.

"Mengenai pembayaran, contohnya, RTM, TV3, Awesome TV dan sebagainya, mereka adalah stesen TV biasa dan bukan premium.

"Kalau stesen yang ada kandungan premium, bayaran mereka juga lebih tinggi. Itu harga yang wajar dibayar oleh semua stesen TV Malaysia.

"Namun, harga yang dibayar oleh stesen-stesen ini adalah sama seperti 30 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, stesen TV patut menaikkan bayaran sekurang-kurangnya setiap 10 tahun.

"Dah lepas tiga dekad, ia masih sama. Sepatutnya, setiap 10 tahun harus ada penambahan. Kerja apa pun ada penambahan, tetapi, ini tidak.

"Contoh mudah, saya jual roti canai di Restoran Haslam 30 sen ketika zaman saya buat drama dulu. Sekarang, dah RM1.50. Bayaran kru dulu RM100, sekarang dah RM2,000.

"Stesen TV kena naikkan bayaran sebab kalau tidak, produksi yang akan menjadi mangsa," katanya.

Menurutnya, pelakon juga turut menjadi mangsa, namun, itu jarang berlaku.

"Pelakon jarang jadi mangsa sebab kalau ambil pelakon terkenal, mereka meletakkan harga seperti mana yang mereka terima daripada stesen premium.

"Itu yang menjadi masalah kita kerana orang akan salahkan produksi sedangkan, kita pun berdepan masalah. Saya dah menjadi penerbit drama sejak 1985 dan dah tahu sepak terajang dunia penerbitan.

"Bezanya, dulu lain dan sekarang lebih mencabar," katanya.

Yusof menerbitkan pelbagai drama bersiri tempatan dan antara yang popular adalah Remang-Remang Kota Raya pada 1985, Gerak Khas sehinggalah yang terbaharu, Kuasa.

Disiarkan pada: August 30, 2022 @ 3:02pm
d