rap

Zed Zaidi dilantik Ahli Lembaga Pengarah Finas

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berharap pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dapat membela nasib penggiat seni tanah air.

Zed berkata, demi memartabatkan industri kreatif dia akan cuba memurnikan polisi, dasar, prosedur, serta hal berbangkit untuk dinikmati pemain-pemain industri.

"Alhamdulillah syukur, terima kasih Allah. Saya tahu pelantikan ini, bukan semua orang yang suka pada kita, tetapi dengan dugaan dan cabaran ini membuatkan saya lebih kuat untuk berjuang bagi membela penggiat dan anak-anak seni secara konsisten dan inilah asam garam dalam perjuangan.

"Terima Kasih Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kerana memberikan kepercayaan dan amanah ini kepada saya.

"Terima Kasih kepada Pengerusi Finas Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang melihat kelebihan diri saya untuk membantu memartabatkan lagi Industri Kreatif Malaysia.

"Insya-Allah saya akan membantu Zurainah bagi memurnikan lagi polisi, dasar, prosedur, dan lain lain di peringkat dalaman Finas nanti agar dapat memberikan kelebihan dan manfaat yang lebih baik kepada pemain pemain industri," katanya.

Pelantikan Zed sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas berkuat kuasa 15 Ogos lalu sehingga 14 Ogos 2024. Menurut Zed, dia juga berterima kasih kepada Seniman yang sentiasa menjadi tulang belakang selain mempercayai kredibilitinya sebagai presiden persatuan.

"Saya percaya dengan amanah yang berat ini kita sama-sama dapat memberikan sepenuhnya tenaga kita supaya segala perjuangan terutama dalam kebajikan penggiat seni Malaysia terus terbela.

"Terima Kasih kepada keluarga, ibu bapa adik beradik, isteri dan anak anak yang sentiasa bersama saya ketika senang dan susah, sokongan kalian amat diperlukan.

"Terima Kasih juga buat semua sahabat, persatuan seni, dan media yang bertalu-talu menghantar mesej. Mohon maaf sekiranya tidak dapat membalasnya sebab terlalu banyak sebenarnya. Saya cuba nak merahsiakan pelantikan ini tetapi apakan daya prosedur tetap prosedur.

"Saya akan membantu sedaya mungkin dan kepada semua yang memerlukan bantuan saya akan cuba," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2022 @ 1:45pm
d