rap

'Saya tak marah atau ambil hati pun' - Zoey 

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Zoey Rahman menerima dengan hati terbuka apabila menjadi sasaran netizen yang tidak henti melemparkan tuduhan tidak berasas dan kejian terhadap perubahan pada bahagian wajahnya.

Tampil menafikan dirinya melakukan sebarang pembedahan kecantikan, Zoey memberitahu perbezaan itu adalah disebabkan solekan yang dilakukannya.

"Saya tak sangka video tutorial mekap yang dimuat naik di TikTok menerima pelbagai reaksi. Saya ada terbaca komen netizen yang mengatakan wajah saya kelihatan senget gara-gara kerap melakukan pembedahan pada wajah.

"Bagaimanapun saya membalas komen itu dengan mengatakan sekurang-kurangnya hati saya tidak senget sehingga perlu mengata orang.

"Jujur saya tak marah atau ambil hati pun. Saya dalam bidang seni sudah lama dan dah lali dengan kata-kata tohmahan atau cacian orang.

"Saya anggap apa yang dilemparkan itu hanyalah sekadar gurauan dan mereka sayangkan saya. Kalau saya serius sangat boleh sakit jiwa layan mereka,"katanya.

Terdahulu perbezaan rupa wajah Zoey Rahman mengundang pertanyaan pengikut di laman sosial miliknya apabila ada yang mendakwa dia melakukan pembedahan kecantikan di bahagian muka sehingga wajahnya kelihatan senget.

Menurut Zoey, dia juga tampil mempertahankan dirinya apabila kerap mempromosikan barangan kosmetik dan membuat tutorial solekan pada wajahnya.

"Sebagai pemilik produk kosmetik saya perlu promosikan produk saya. Bisnes ini adalah sumber pendapatan utama. Walaupun saya tahu sasaran pembeli adalah golongan wanita tapi lelaki juga boleh bersolek.

"Dulu saya akui agak malu nak buat video tutorial solekan sebab saya adalah lelaki tapi kalau difikirkan semula saya adalah pemilik produk kosmetik MikaSeries.

"Mahu atau tidak saya kena menggunakan pengaruh yang saya miliki. Kalau nak bayar pempengaruh untuk tolong promosi bayarannya menelan kos puluhan ribu ringgit," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2022 @ 7:26pm
d