rap

Shila Amzah tak kisah dikritik sertai GV9

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Shila Amzah akur apabila ada pihak mempersoalkan pembabitannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang dikatakan tidak sesuai kerana masih lagi muda dan relevan dalam industri muzik tanah air. 

Shila berkata, penyertaannya dalam program itu adalah untuk memperbaiki diri dan berdepan menerima sebarang kritikan mengenai nyanyiannya. 

"Tujuan saya sertai program ini bukan kerana duit tetapi saya yakin ia adalah medan paling sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya. 

"Menerusi program ini setiap penyanyi perlu tampilkan persembahan yang terbaik dan mencabar kreativiti sendiri. Secara tidak langsung platform ini membantu saya untuk lebih yakin selain memberi kepuasan kepada diri. 

"Kalau nak cakap takut pada kritikan atau kecaman, sebelum ini pun saya sudah lalui pelbagai kontroversi. Saya juga tak kisah jika kena kritikan dari segi nyanyian kerana lebih baik orang kritik pasal kerja berbanding soal peribadi," katanya.

Terdahulu, pembabitan Shila dikritik apabila ramai yang menganggap Shila masih muda dan relevan dalam industri muzik apabila baru sahaja menjuarai program The Masked Singer Malaysia musim kedua dan juga sedang mempromosikan single baharu bersama Liza Hanim iaitu Bahagiakan Dia.

Menurut Shila, dia menganggap setiap anugerah yang diberikan Tuhan kepada setiap hamba-Nya adalah berbeza-beza. 

"Saya sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri yang anugerah Allah beri ini adalah berbeza-beza. Saya selalu pesan kepada diri saya supaya kekal fokus pada rezeki masing-masing.

"Apa yang Allah dah berikan pada kita, 'pinggan' kita, lauk kita itu, kita guna sehabis baik," katanya. 

Selain Shila, 12 peserta lain yang turut serta dalam GV9 adalah Jaclyn Victor, Bob Yusof, Tomok, Asheed Def Gab C, Dina Nadzir, Haida, Pat Candy, Roy Kapilla, Tom, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman dari Singapura serta peserta berkumpulan, VE.

GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.

Disiarkan pada: September 8, 2022 @ 12:02pm
d