rap

'Tak ingat bila tarikh nikah dan cerai' - Raja Ema

Oleh Najiy Jefri

Hulu Klang: "Saya tak pernah kira atau ingat tarikh saya bernikah dan bercerai. Saya sudah 'move on'," kata penyanyi dan pelakon Raja Ema yang kekal mengunci rapat soal kehidupan peribadinya selepas dilaporkan bergelar ibu tunggal lebih 20 tahun.

Raja Ema berkata, pada usia 54 tahun ini dia malas untuk berfikir soal jodoh atau mencari teman hidup sebaliknya lebih seronok menikmati kehidupan solo di samping dua anaknya, Putera Ammar, 28, dan Putera Al Kashah, 26.

"Sebenarnya saya sudah malas nak fikir sebab urusan jodoh ini kita tak tahu bagaimana akhirannya. Kalau berniaga atau terbabit dalam dunia seni saya tahu apa yang bakal saya capai.

"Saya bukan nak menakutkan sesiapa tetapi bila bab perkahwinan ini kita berurusan dengan manusia. Kalau kita berharap perkahwinan yang dibina itu sehingga ke syurga sekali pun, belum tentu kita dapat mencapainya.

"Memanglah kita boleh bebaskan seseorang dengan bercerai bila sudah tiada hati. Tapi kalau ditakdirkan bercerai berapa banyak masa sudah dibuang dan dibazirkan. Bukankah lebih baik masa itu kita gunakan dengan perkara berfaedah untuk diri sendiri? Tiada istilah sunyi dalam hidup saya. Kalau ada pasangan belum tentu saya boleh buat macam-macam benda," katanya.

Raja Ema ditemui pada sesi rakaman dua single hits yang pernah dipopularkan pada tahun 80-an iaitu Jejaka Idaman dan Angan Angan untuk siaran program Salam Dari Maya 2 di One Scream Studio, Taman Melawati, di sini, semalam.

Menurut Raja Ema, walaupun ramai yang menganggap kehidupan berpasangan lebih membawa kebahagiaan kepada kehidupan seseorang tetapi dia pula berfikiran sebaliknya.

"Bila saya katakan saya gembira dengan kehidupan solo ramai yang tidak percaya. Mungkin mereka fikir bila ada pasangan baru terbit rasa bahagia itu, tapi tidak dinafikan juga ada individu yang solo tapi tak gembira kerana mereka mahukan pasangan hidup.

"Cuma saya sudah tetapkan yang mati nanti pun seorang, jadi saya okey saja begini. Tipulah kalau saya katakan saya tidak takut apabila bersendirian, lebih-lebih lagi baru dijangkiti Covid-19 pada awal tahun ini sehingga tidak dapat teruskan perniagaan.

"Setiap ujian yang dilalui menguatkan saya untuk terus kuat dan berserah kepada takdir Ilahi. Saya tidak meletakkan sebarang harapan tapi biarlah urusan jodoh ini datang pada waktu yang tepat," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2022 @ 2:06pm
d