rap

Bakat Aman Shah digilap di bawah khemah kenduri

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Terkenal sekitar 1980-an hingga sekarang, Allahyarham Aman Shah,68, atau nama sebenarnya Aman Shah Abu Kassim sememangnya antara penghibur yang cukup disegani ramai. 

Aman Shah dilahirkan pada 26 April 1954 terkenal dengan lagu Adikku Pandai Menari, manakala setiap kali menjelang Syawal, Kepulangan Yang Dinanti pasti mendapat pilihan stesen radio. 

Kelunakan suaranya sentiasa menjadi bualan suatu ketika dulu, malah Allahyarham juga turut terkenal dengan karakter sopan, bersahaja dan berbudi bahasa. 

Wajahnya yang cukup mendamaikan hati amat disenangi oleh kebanyakan wartawan-wartawan senior yang mengenali peribadi Allahyarham yang tidak pernah melenting dan marah setiap kali soalan peribadi diajukan kepadanya. 

Populariti Allahyarham ketika zaman kegemilangannya pernah berdiri sebaris dengan ramai penyanyi legenda lain. Antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Jay Jay dan ramai lagi. 

Bukan sekadar memiliki suara yang merdu, malah Allahyarham memiliki personaliti menarik, tinggi lampai dan wajah tampan sekali gus menjadikan jejaka kelahiran Johor Bharu, Johor itu laris di layar lebar.

Menonton filem Darah Satria pasti membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya sebagai perajurit. Selain itu, Aman Shah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor.

Mengimbas kembali perjalanan seni Allahyarham, Aman Shah pernah menghilangkan diri seketika. Beliau pernah bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007, sekali gus mengurangkan aktiviti seninya.

Beliau tidak pernah menyimpan impian akan menjadi insan popular kerana kerjayanya hanya bermula di bawah khemah orang kahwin sekitar 1965.

Ketika itu, penyanyi terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bermain gitar pada satu majlis perkahwinan di Johor Bahru.

Aman Shah ketika itu belajar dalam Darjah Lima memberanikan diri bermain gitar pada waktu rehat. Minatnya bermain gitar semakin menebal, namun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal, sebaliknya belajar daripada buku muzik.

Apabila memasuki Tingkatan Lima, Aman Shah sudah menubuhkan kumpulannya sendiri, The Rembles apabila bertindak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama.

The Rembles pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971. Nama The Rembles begitu digeruni apabila sering menyapu bersih gelaran juara setiap kali diadakan pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Perjalanan Aman Shah ke kota besar Kuala Lumpur bermula pada 1973. Aman Shah menyertai kumpulan Booty's Boys dan menerima gaji bulan RM2,000. Pada masa itu, khususnya awal 1970- an, jumlah itu dianggap terlalu lumayan baginya.

Sejak itu, Aman Shah bersama Booty's Boys sering mendapat undangan bermain muzik sekitar hotel di Kuala Lumpur dan tidak lama kemudian, Aman Shah bertemu dengan mendiang Mike Bernie, sekali gus menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music pada 1979.

Menerusi album Aman Shah 5, dia tampil dengan lagu popularnya, Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983.

Selain itu, Aman Shah muncul dengan Mawarku, Cinta Tak Seindah Diucap, Dunia Orang Muda, Ku Mengerti Erti Sepi dan Kisah Gadis Keriangan.

Aman Shah bukan sekadar berbakat sebagai penyanyi, malah pernah maju setapak apabila bergelar komposer. Lagu ciptaannya, Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, Aman Shah bertemu jodoh ketika usianya menjengah 24 tahun dengan Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu. Namun, rumah tangganya bertahan dua tahun.

Ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura, Aman Shah bertindak sebagai hos dan jatuh cinta pandang pertama kepada Farah Diba Abdul Aziz yang turut membuat persembahan bersama kumpulan duo, The Queens.

Setahun berkenalan, Farah yang berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama Aman Shah pada usia 14 tahun. Mereka bercinta selama enam tahun. Akhirnya pada 21 Disember 1986, Aman Shah dan Farah bersanding di Bedok Tampines, Singapura selepas bernikah gantung di Jelebu.

Namun, perkahwinan keduanya hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata. Perkahwinan ketiga Aman Shah dikurniakan dua anak, namun beliau tidak pernah mendedahkan identiti isterinya.

Beralih mengenai kesakitan Allahyarham, Aman Shah sebenarnya sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan beberapa serangan jantung termasuk di rumahnya, dua minggu lalu.

Namun takdir sudah tertulis apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira jam 2.20 petang hari ini.

Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak 9 September lalu bagi menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam. Bagaimanapun, katanya, keadaan kritikal dan tidak stabil. 

Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras sebelum dikebumikan hari ini. 

 

Disiarkan pada: September 14, 2022 @ 7:22pm
d