rap

'Saya tak peduli kritikan mengenai Mat Kilau' - Jay Jay

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya tak peduli komen-komen negatif itu. Manusia tak akan puas hati dengan kejayaan seseorang."

Demikian kata penyanyi terkenal Jay Jay mengenai maklum balas dan komen penonton terhadap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) yang ditayangkan di Netflix mulai 16 September lalu.

Jay Jay berkata, dia amat meminati filem arahan Syamsul Yusof ini dan menyifatkan ia sebuah cerita yang menarik.

"Filem ini sangat tajam, moden dan sangat mengujakan. Jadi saya tak perlu ambil peduli dengan komen negatif sebegini.

"Ketika filem ini mula keluar di Netflix, saya tengok seorang diri dan sangat memberi tumpuan. Saya nak tahu keistimewaan filem yang cetuskan impak dengan kutipan hampir RM100 juta ini.

"Mana ada sejarah kutipan begini. Bagi saya ini adalah pembikinan filem era moden yang terbaik di negara kita. Bukan saya pandang yang lain tak bagus tapi ini yang terbaik," katanya yang ditemui semasa rakaman program Salam Dari Maya 2.0 di Zepp, KL semalam.

Penyanyi lagu popular Cukuplah Sekali ini berkata, dia kagum dengan sistem bunyi filem ini yang bagus, selain menampilkan barisan pelakon pujaannya.

"Sebelum ini saya dengar berkenaan filem namun tidak tahu barisan pelakonnya kecuali Datuk Adi Putra. Selepas itu baru saya perasan pembabitan hero-hero ini dan rasa sangat bagus.

"Ceritanya menarik dan tidak bosan. Selalunya saya tengok cerita, pasti rasa bosan... ada kelakar seram tapi yang ini tiada dan sangat bagus.

"Saya memang teliti menonton filem terutama lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nordin Ahmad dan Ahmad Nisfu. Filem-filem lain pun saya ikut tapi yang ini menarik perhatian saya," katanya.

Jay Jay bagaimanapun mengakui kekurangan filem ini kerana tidak menampilkan runut bunyi tersendiri agar kekal diingati peminat.

"Bagi saya filem epik mesti ada soundtrack yang dahsyat contohnya dari era filem Sanggam lagi.

"Ambil contoh filem Pontianak Harum Sundal Malam pun ada soundtrack. Lagu itu yang buat orang tertarik untuk menonton filem," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2022 @ 3:15pm
d