rap

'Saya tak yakin, ia sangat meragukan' - Khalil

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh mengesahkan pernah berhasrat menjalinkan kerjasama dengan seorang individu bergelar Datuk Seri bagi mendapatkan rumah untuk ahlinya.

Menurutnya, dia tertarik apabila Datuk Seri ini menerusi syarikatnya menawarkan skim rumah berharga RM500,000 dengan harga istimewa RM10 atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit.

"Saya kemudian berjumpa dia di pejabatnya untuk berbincang lebih lanjut. Selepas selesai penerangan, saya bertanyakan beberapa soalan dan kemudian meninggalkan pejabatnya.

"Selepas itu saya berjumpa ahli jawatankuasa saya yang bertanyakan pendapat berkenaan perkara ini. Saya pun beritahu saya buat keputusan untuk tarik semula nama 50 ahli yang nak memohon rumah ini.

"Ia kerana saya tak yakin dengan penjelasan yang dibuat dan sangat meragukan," katanya kepada Harian Metro. Khalil yang mengemudi PROFIMA sejak hujung Disember lalu berkata, dia turut mengeluarkan kenyataan menerusi kumpulan WhatsApp mereka memaklumkan perkara ini.

"Saya beritahu saya tidak berpuashati dengan penjelasan Datuk Seri ini dan buat keputusan terbabit. Namun jika mereka nak memohon sendiri saya tidak menghalang.

"Tapi saya melarang guna nama persatuan. Kenyataan itu dikeluarkan pada 19 Ogos dan selepas itu perkara ini terus senyap. Kami buat ketetapan bahawa kita tak percaya sama sekali.

"Sampai sekarang saya tengok macam-macam kenyataan dikeluarkan oleh ramai orang berkenaan syarikat itu. Cuma saya agak terkilan kenapa surat saya disiarkan di Instagramnya?," katanya.

Menurutnya, untuk membuat satu program membabitkan kos berjuta-juta, perlu ada sistem yang betul serta penerangan yang jelas.

"Ini tiada apa-apa pun. PROFIMA dah buat keputusan awal untuk tidak masuk campur. Kasihan juga dengan penggiat seni terutamanya yang veteran sekiranya perkara ini tidak betul," katanya.

Terdahulu, aktivis masyarakat terkenal Mona Din dan peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat serta Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat menasihatkan penggiat seni agar tidak termakan dengan tawaran rumah yang kedengaran tidak masuk akal.

Mona mengingatkan agar berhati-hati dengan operasi dan modus operandi sebuah pemaju hartanah yang memperkenalkan skim Rumahku Syurgaku dengan  menawarkan rumah berharga RM500,000 kepada penggiat seni atas nama CSR.

Penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris ditampilkan sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta Pemegang Amanah menerusi skim yang disebut khidmat sosial amal jariah membantu ummah itu.

Disiarkan pada: September 23, 2022 @ 3:44pm
d