rap

IU cukup pemurah

Oleh Agensi

Seoul: Penyanyi dan pelakon, IU, 29, terus memberi sumbangan peribadi berupa bantuan kewangan kepada pihak memerlukan dan sentiasa sedia berbakti kepada masyarakat.

Bintang utama drama Hotel del Luna itu difahamkan sudah menyumbangkan lebih RM650,000 kepada dua pusat kebajikan yang mendapat agihan sama rata bagi memenuhi segala kekurangan dialami.

Menurut laporan, dua pusat kebajikan yang menerima sumbangan dana bantuan daripada IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun ialah Yayasan Kebajikan Masyarakat Asan dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Metropolitan Seoul.

Terdahulu, IU yang meraikan ulang tahun ke-14 pembabitannya dalam industri hiburan baru-baru ini, turut teruja menjayakan konsert selama dua hari di Seoul untuk menghiburkan peminatnya dengan nama IUaena, iaitu gabungan nama bersama kelab peminatnya, Uaena.

"Ketika ini bersama Uaena, saya kongsikannya (sumbangan) dengan hati yang bahagia. Selama lebih sedekad ini, saya gembira selalu dapat memberikan keajaiban bersama Uaena.

"Saya amat berharap hati kita semua dapat bersatu demi membawa keajaiban kepada orang lain yang memerlukan bantuan," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, dalam tahun ini saja IU sudah beberapa kali memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Malah, dia menjadi antara artis popular Korea Selatan yang prihatin dan mempunyai sifat pemurah.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 12:31pm
d