rap

Hasrat jual cermin mata untuk kebajikan tak kesampaian

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Hasrat vokalis kumpulan Radja, Ian Kasela untuk membantu orang sekeliling ketika pandemik Covid-19 tidak kesampaian apabila gagal menjual cermin mata peribadi dengan harga RM88,165.

Ian berkata, kebanyakan harga yang ditawarkan oleh orang ramai termasuk dalam kalangan selebriti jauh lebih rendah daripada yang ditetapkan.

"Ketika pandemik Covid-19 melanda Indonesia, memang ramai orang sekeliling termasuk jiran, kru Radja yang terkesan. Saya fikir cara yang boleh membantu mereka adalah dengan menjual sesuatu yang begitu dekat dengan saya. Disebabkan orang mengenali saya dengan imej cermin mata, jadi saya mahu menjual satu daripada koleksi yang ada.

"Cermin mata itu sudah ada sejak saya mula bersama Radja, iaitu lebih 20 tahun lalu. Saya mahu menjualnya dengan harga 290 juta Rupiah (RM88,165). Namun, ia tidak terjual kerana ramai yang menawarkan harga rendah. Paling tinggi pun 119 juta Rupiah (RM35,961). Ada juga rakan artis yang membuat tawaran termasuk peminat dari Malaysia, tapi harga tak kena," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Ian ditemui pada Majlis Sidang Media Konsert Radja & Repvblik di sini, semalam.

Dalam masa sama, Ian menafikan dia mengalami masalah kewangan hingga memaksa dirinya menjual koleksi cermin mata itu.

"Alhamdulillah, sebenarnya itu tidak terjadi. Saya masih ada simpanan dan boleh menguruskan dengan baik. Saya nak jual koleksi cermin mata itu bukan untuk saya, tapi nak membantu orang sekeliling yang lebih susah. Duit ini bukan untuk peribadi.

"Kalau nak keluarkan duit simpanan sendiri ketika itu bagi saya ia bukan tindakan bijak. Jadi, saya perlu cari jalan yang lebih wajar untuk membantu. Itu yang timbul idea nak menjual cermin mata," katanya.

Pada 2020, Ian didakwa mengalami masalah kewangan ekoran pandemik hingga memaksa dirinya menjual koleksi peribadi cermin mata.

Mengenai konsert reunion Radja Repvblik, ia bakal diadakan di WTC Kuala Lumpur pada 13 November depan.

Menariknya, pada konsert anjuran Angkasa Mukmin Sdn Bhd itu, ia bakal menemukan semula anggota asal kumpulan Radja selepas mereka berpecah seketika.

Disiarkan pada: September 27, 2022 @ 11:29am
d