rap

'Tindakan Zul Ariffin matang dan bertanggungjawab' - Gayatri

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Tindakan mengaku bersalah oleh Zul Ariffin ketika didakwa memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial adalah matang dan bertanggungjawab demikian pandangan Penerbit dan rakan baik aktor itu, Gayatri Su-lin Pillai.

Gayatri berkata, kehadirannya menemani Zul di Kompleks Mahkamah Sesyen Sepang, pagi ini juga adalah untuk memberi sokongan kepada pelakon filem Sangkar itu.

"Saya datang untuk memberi sokongan kepada Zul. Sepanjang bekerjasama dengan Zul untuk beberapa projek filem dia memberi kerjasama yang baik.

"Malah dia juga sangat 'supportive' dalam membantu mempromosikan setiap karya yang dibintangi.

"Bagi saya, keputusan yang dibuat Zul hari ini adalah matang dan bertanggungjawab. Saya memuji tindakannya itu," katanya.

Ditanya adakah Zul ada berkongsi masalah dan tekanan yang dihadapi susulan kes terbabit, Gayatri berkata, soalan itu harus ditanyakan kepada empunya badan.

"Pandangan saya setiap individu yang berdepan masalah pasti akan mengalami tekanan," katanya.

Terdahulu, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Zul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pada 18 Mac, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram.

Video memperlihatkan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.

Selain Zul dan Siti Hariesa, drama 30 episod ini dibintangi Mimi Lana, Eman Manan, Amar Asyraf, Amir Ahnaf, Erysha Emirates dan Iqbal Zulkefli.

Disiarkan pada: October 4, 2022 @ 4:37pm
d