rap

'The Original Gangster cerita baharu, tiada kena-mengena dengan KL Gangster 3' - Syamsul Yusof

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "The Original Gangster adalah cerita dan watak baharu. Ia tidak ada kena mengena dengan KL Gangster 3 (KLG 3)," kata pengarah terkenal, Syamsul Yusof, 38, mengenai penerbitan filem The Original Gangster yang sudah mula dihebahkan di media sosial miliknya.

Syamsul berkata, filem yang diterbitkan syarikatnya iaitu Syamsul Yusof Films dan Razor's Edge Pictures serta mendapat sokongan daripada Media Prima Berhad sebagai rakan media itu bukan menggantikan filem KLG 3 yang sebelum ini dikhabarkan bakal diterbitkan.

"Tidak ada sebab ganti atau apa, The Original Gangster ni cerita lain, KLG 3 cerita lain. The Original Gangster semua baharu. Ia satu francais filem yang saya cipta yang baharu. Seperti rakan perniagaan saya mahukan, mereka nak filem baharu. Jadi,sebab itu saya cipta The Original Gangster. Tidak ada kena mengena dengan cerita dan watak KLG 3. Filem KLG 3 ada cerita dan keistimewaan sendiri.

"Berkaitan KLG 3 tu, bukan kata takkan buat. Kalau tanya saya, saya mahu memberikan sesuatu kepada peminat KLG, sebab ia ada peminat tersendiri. Mungkin selepas The Original Gangster atau filem epik, tengok keadaan macam mana. Tengok perbincangan antara saya dengan ayah saya dan pelabur lain kalau ada mengenai penerbitan KLG 3 itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, dia kini lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menerbitkan filem menerusi dua syarikat iaitu President Productions dan Syamsul Yusof Films Sdn Bhd.

"Setakat ini saya ada dua syarikat iaitu President Productions dan Syamsul Yusof Films Sdn Bhd. President Productions sudah bekerjasama dengan Skop Productions dalam menerbitkan filem Munafik 2. Jadi, untuk projek The Original Gangster ini pula pihak mereka (rakan kerjasama) mahu bekerjasama dengan mereka dan tidak membabitkan Skop Productions. Mungkin masa hadapan akan bekerjasama lagi dengan Skop Productions, tengok macam mana perbincangan perniagaan.

"Seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, pihak Kembara Studio nak bekerjasama dengan saya. Sama juga dengan filem baharu ini. Mungkin masa hadapan pihak Astro nak bekerjasama dengan saya pula. Saya terbuka dengan mana-mana tawaran dan perbincangan dalam menerbitkan filem," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penerbit yang juga bapa kepada Syamsul, Datuk Yusof Haslam enggan mengulas mengenai filem terbaharu yang bakal diarah dan diterbitkan Syamsul, The Original Gangster tanpa membabitkan Skop Productions.

Ia selepas Syamsul memuat naik hantaran poster yang memaparkan filem itu bakal diterbitkan Syamsul Yusof Films Sdn Bhd.

The Original Gangster bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Adi Putra, Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Nas-T, Soffi Jikan, Pablo Amirul dan pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian.

Disiarkan pada: October 8, 2022 @ 12:33pm
d