rap

'Bajet 2023 hari gembira penggiat seni' - A Aida

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur : Penerbit terkenal, Datuk A Aida berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOM) atas peruntukan RM177 juta untuk sektor kreatif pada pengumuman Bajet 2023, semalam.

A Aida yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan

Timbalan Presiden Persatuan Penerbit TV berkata, peruntukan itu lebih baik dari tahun sebelumnya selain membawa khabar gembira buat penggiat seni.

"Semalam adalah hari gembira buat seluruh penggiat seni atas usaha kerajaan memperuntukkan Dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan (Dekan). Saya percaya ini mampu memberi galakan dan semangat untuk pengkarya memperbanyakkan lagi pembikinan karya, khususnya berkaitan sejarah negara.

"Begitu juga dengan adanya peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM102 juta yang pastinya ditunggu-tunggu seluruh anak seni. Sedikit sebanyak ia dapat melahirkan lebih banyak pengkarya baru dengan idea dan karya berkualiti," katanya kepada Harian Metro.

Menurut A Aida yang juga Pengarah Urusan A Aida Productions, pengumuman pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran sesuatu yang cukup menggembirakan.

"Jika tahun lalu diberikan pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan, tapi tahun ini kerajaan beri lebih besar. Bagi mereka yang terbabit dalam bidang ini, pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran sesuatu yang cukup menggembirakan sangat membantu dalam merancakkan lagi sektor penerbitan," katanya.

Selain itu, pengumuman Bajet 2023 juga menyaksikan potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan 80 peratus caruman ditanggung kerajaan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk penggiat seni Finas yang hanya perlu membayar 20 peratus caruman saja.

"Sekali lagi saya mewakili seluruh ahli PTVM dan penggiat seni merakamkan jutaan terima kasih atas inisiatif terbaik daripada KKOM dan menterinya, Tan Sri Annuar Musa," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2022 @ 8:20pm
d