rap

Elly Mazlein tak 'overshadow' peserta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur : Pengacara popular, Nabil Ahmad menepis cakap-cakap segelintir pihak yang mendakwa kemunculan Elly Mazlein selaku rakan pengacara di program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sebagai mengganggu dan 'overshadow' peserta.

Nabil, 39, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad berkata, perhatian diberikan kepada Elly yang mesra disapa Kak Lina itu turut dibantu peminat dan penonton yang banyak berkongsi di laman sosial.

"Soal Elly menjadi perhatian lebih daripada peserta, pada saya ia subjektif. Yang menjadikan Elly sebegitu adalah peminat dia yang suka keletah dia. Mereka atau penonton berkongsi di di media sosial.

"Saya yang berada di situ tetap melihat peserta lebih mendapat perhatian. Dia tak 'overshadow' peserta pun. Cuma bila orang memuat naik di media sosial, memanglah nampak dia menjadi perhatian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabil, pemilihan Elly bagi menggantikan Jihan Muse itu memberikan suasana baharu kepada program itu.

"Sebenarnya apa yang penonton tengok di kaca TV, Elly dah buat masa sesi latihan lagi. Peserta dah tahu pun apa Elly akan buat. Mungkin sewaktu latihan peserta boleh tahan lagi dan ketika persembahan sebenar menjadi kelakar betul. Itu yang nampak dia seperti mengganggu.

"Saya dah buat GV selama sembilan tahun. Sampai terfikir apa lagi yang nak dibuat bagi membantu program ini supaya sentiasa diperkatakan. Secara peribadi, saya gembira sebab ada Elly yang boleh buat perkara itu. Tenaga dia lain hingga orang bercakap mengenai GV dan Elly.

"Bagi saya, apa saja yang diperkatakan hingga tular, ia bagus untuk program itu. Sebagai 'showbiz' lantaklah apa yang terjadi dan diperkatakan. Pada akhirnya, ia hanya satu persembahan. Tapi kita tidaklah sampai melampaui batas agama. Kami tahu batasannya," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2022 @ 11:29am
d