rap

'Kami tunjuk pergi melancong bersama sebab kerja' - Nad Zainal

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya nak tegaskan, pergi luar negara bersama itu atas urusan kerja dan bukan saya seorang."

Demikian kata pelakon terkenal Nad Zainal susulan gambar bersama pelakon Ungku Ismail Aziz ketika berada di Bali, Indonesia, baru-baru ini menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat.

Kekerapan kedua pelakon itu membuat hantaran di Instagram masing-masing membuatkan ramai beranggapan keduanya sedang menjalin hubungan cinta.

Nad, 32, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia bersama Ungku ke Bali atas tujuan kerja bagi menjalani penggambaran Travelog saluran YouTube mereka iaitu UIA x NZ.

"Dengan Ungku memang tak ada apa-apa. Sekarang saya sedang mengusahakan satu saluran YouTube. Sebenarnya dia mula tawarkan dari awal tahun. Jadi, kami ada visi dan misi yang sama iaitu nak buat kandungan YouTube, travelog dan nak ada syarikat bersama. Jadi, harapnya ia terjadi. Kami juga ada perancangan nak terbitkan telefilem bersama. Banyak kerjasama dan projek.

"Ketika pergi Bali, pembantu peribadi saya pun ikut. Malah, kalau kami keluar memang akan cakap keluar bersama, tak ada masalah. Bukan nak bercinta, kami pergi memang akan cakap tak ada nak selindung. Jadi, tak ada istilah pergi bercuti sebab nak 'kantoi', itu tak. Kami pergi memang nak 'kantoikan' diri pun dan nak orang tengok," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Nad ditemui pada Majlis Pra Pelancaran filem Denu terbitan True Legacy Sdn Bhd milik Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Menurut Nad, dia mula bekerjasama dengan pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu ketika sama-sama terbabit dalam penggambaran drama Cina Buta baru-baru ini.

"Memang sejak Cina Buta. Ini kerjasama pertama kali kami. Kalau ikut memang banyak kali dah nak kerjasama tapi tak dapat. Bila dia ada tawarkan dan saya rasa ada keserasian saya pun terima sebab memang dah lama nak buat kandungan YouTube cuma tak ada platform. Tapi disebabkan dia ada jadi kami buat.

"Kami mudah 'ngam' sebab dia ada misi dan seorang yang bekerja keras. Saya juga minat untuk menulis dan mengarah jadi kami ada satu persamaan. Dari segi lakonan juga lebih kurang sama jadi ia senang.

"Selepas ini perancangan untuk buat travelog di Phuket, Thailand dan Seoul, Korea Selatan. Kami pun sekarang sedang mencari kerjasama macam Air Asia dan sebagainya. Kami memang nak teruskan lagi perkara ini. Tak ada istilah nak sorok-sorok, memang kami tunjuk pergi melancong bersama sebab kerja," katanya.

Mengenai filem Denu, Nad melakonkan watak Primadona Mak Yong iaitu Asmah dan bergandingan dengan pelakon hebat, Sabri Yunus. Filem arahan Ahmad Tarmimi Siregar itu bakal memulakan penggambaran pada 17 Oktober ini di sekitar negeri Perak.

Disiarkan pada: October 12, 2022 @ 1:06pm
d