rap

Syamsul dah tahu awal, bakal arah filem baharu 'termahal'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pengarah filem, Syamsul Yusof, 38, tidak terkejut apabila namanya disahkan tidak terbabit sebagai 'tunjang utama' untuk mengarahkan prekuel filem Mat Kilau yang bakal diterbikan Studio Kembara, tahun depan.

Syamsul dihubungi berkata, dia sebenarnya sudah tahu mengenai perkara itu dari awal lagi kerana ada ura-ura tempatnya digantikan oleh pengarah lain. Jelasnya, dia okey dan melihat positif untuk industri.

"Pada saya, ini satu langkah yang baik juga sebenarnya. Sebab, kita tahu ada ramai lagi pengarah di Malaysia ini yang berpotensi dan mungkin tidak mendapat lagi peluang itu, kerana bagi saya setiap pengarah pasti ada 'trademark' tersendiri, gaya persembahan tersendiri.

"Saya pun sebelum ini memang teringin nak buat filem epik dan Alhamdulillah, saya dah buat filem Mat Kilau berjaya, syukur Alhamdulillah. Jadi, saya rasa kepada pengarah lain yang belum mendapat peluang, bagi saya ini langkah yang bagus. 

"Ia peluang baik yang Studio Kembara berikan untuk pengarah itu menunjukkan 'skill' pengarahan dan penulisan yang berbeza dari gaya persembahan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, semoga dengan pasukan dan pengarah yang baharu, filem prekuel Mat Kilau atau  filem-filem epik lain yang Studio Kembara nak hasilkan selepas ini berjaya. Katanya, ia langkah yang amat baik juga supaya ada warna-warni dalam industri filem Malaysia.

"Mungkin akan ada kekurangannya juga jika saya yang masih buat (arahkan) filem prekuel Mat Kilau itu. Sebagaimana kita tengok filem luar negara seperti Fast and Furious dan Mission: Impossible, penerbitnya juga ada mengambil pengarah yang berbeza untuk mendapat rasa dan teknik yang baharu dari segi pengarahan dan penulisan.

"Jadi, diharapkan sesuatu yang segar dan lain daripada sentuhan Syamsul Yusof. Saya doakan yang terbaik untuk Studio Kembara dalam apa saja filem epik akan dihasilkan nanti, bukan hanya prekuel Mat Kilau itu. Semoga industri filem Malaysia penuh warna-warni dan peluang terus dibuka kepada pengkarya-pengkarya lain," katanya.

Berbicara juga projek terbaharunya, Syamsul menjelaskan dia kini memerlukan komitmen 200 peratus  untuk filemnya akan datang seperti The Original Gangster, sebuah karya aksi moden termahal, terhebat Malaysia yang akan memulakan penggambaran pada  November dan Disember depan.

Terdahulu, penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan Syamsul serta dua pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak akan terbabit dalam pembikann karya prekuel Mat Kilau, akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Abdul Rahman kepada media ketika ditemui pada majlis Studio Kembara santai bersama media di Bangi, hari ini. Untuk rekod, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan  yang ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 23 Jun lalu berjaya mencatat kutipan 'box-office' melebihi RM97 juta, sekali gus mencipta rekod sebagai karya tempatan yang mencapai kutipan tertinggi.

 

Disiarkan pada: October 13, 2022 @ 9:23pm
d