rap

Fadlan Hazim tak trauma

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon, Fadlan Hazim Anuwar, 30, menyifatkan kegagalannya tidak dapat mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya dua tahun lalu sebagai pengajaran dan pengalaman buat dirinya.

Fadlan ketika ditemui berkata, dia tidak trauma atau serik bercinta selepas apa yang berlaku dengan perancangan perkahwinan dibuat itu musnah di tengah jalan sekali gus meranapkan impiannya bergelar suami.

"Saya tidak trauma pun, cuma saya anggap apa yang berlaku itu (tak jadi kahwin) sebagai pengajaran, pengalaman dan ingin memperbaiki diri menjadi lebih bagus lagi.

"Benda itu terjadi semuanya mungkin ada banyak kesalahan, kekurangan dan kesilapan saya. Jadi, pengalaman itu buat saya nak berubah ke arah lebih baik untuk peribadi, kerjaya dan hubungan dengan keluarga," katanya.

Ditanya apa yang menyebabkan dia mudah dan tenang mengaku silap diri, Fadlan berkata, ego yang sememangnya menebal dalam diri seseorang lelaki adalah sangat bahaya.

"Apa yang saya dah belajar, ego ini amat bahaya. Ego boleh menghancurkan diri. Itu yang saya fahami daripada pengalaman sendiri dan tidak mahu ia berulang lagi.

"Bagaimanapun, setakat ini saya masih lagi solo dan memberi fokus sepenuhnya pada karier. Lagipun, saya bersyukur sehingga kini tawaran berlakon diterima tidak putus walaupun saya bukan dalam kelompok popular," katanya.

Ditanya adakah dia akan memilih wanita Melayu sebagai teman istimewa baharu, Fadlan berkata, dia terbuka dan tidak melihat kepada kaum.

Katanya, wanita Melayu atau bukan Melayu tidak semestinya, asalkan paling utama dapat menambat cinta di hati.

Sebelum ini, Fadlan yang kini muncul dengan drama siri original Viu Malaysia, Ijab Kabut pernah mendedahkan perancangan perkahwinannya bersama wanita dikenali Julie Anne Kang yang berakhir pada 2020.

Mereka yang sudah menjalin persahabatan hampir 16 tahun dan serius sebagai kekasih selama enam tahun, terpaksa akur jodoh tidak berpihak untuk melangkah ke fasa perkahwinan apabila memutuskan berpisah.

Disiarkan pada: October 17, 2022 @ 1:46pm
d