rap

Nana Sheme selesa rahsiakan pernikahan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi, Nana Sheme, 27, memilih untuk tidak menghebahkan pernikahannya dengan penerbit muzik, Zikri Zakaria, 31, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi berkata, majlis yang berlangsung jam 5.30 petang kelmarin di Kuching, Sarawak itu hanya dihadiri kira 150 orang saja.

"Sejak dulu lagi saya memang sangat menjaga privasi hubungan kami. Lebih baik begitu kerana bimbang benda-benda yang boleh bertukar tanggapan negatif sebelum hubungan benar-benar sah.

"Majlis merisik dan bertunang yang diadakan pada 20 Mei lalu pun saya tak ]hebahkan. Kami memang rancang untuk langsungkan majlis yang sangat sederhana saja.

"Sejurus selepas nikah, kami salin pakaian dan teruskan dengan majlis resepsi pada hari yang sama. Insya-Allah, kalau ada rezeki lebih, ada perancangan untuk mengadakan majlis resepsi kecil-kecilan di Kuala Lumpur," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hantu Atau Buaya itu berkata, dia sudah mengenali Zikri lebih tiga tahun. Katanya, dia yakin Zikri adalah jodoh tepatnya kerana keperibadiannya penyayang dan mementingkan keluarga.

"Kami benar-benar serius bercinta selepas saya tamat bertanding program Big Stage 2020. Saya jatuh cinta kepadanya kerana dia seorang lelaki bertanggungjawab, penyayang dan romantik.

"Walaupun dia anak bongsu dalam keluarganya, tapi caranya melayan adik-beradik saya sangat matang. Walaupun saya sendiri anak sulung dalam keluarga, saya dapat rasakan kasihnya sebagai seorang abang," katanya.

Bercerita mengenai bulan madu, perancangan keluarga dan kerjaya, Nana tidak merancang untuk tergesa-gesa dalam segala hal.

"Insya-Allah kami akan berbulan madu di Bali dalam beberapa hari lagi. Untuk cahaya mata, kami tidak menolak kalau rezeki datang awal tapi buat masa sekarang memang nak menikmati masa berdua.

"Memandangkan suami juga orang industri muzik, kami sama-sama faham mengenai kerjaya. Tidak lama lagi, saya akan lancarkan sebuah lagu duet yang turut mendapat sentuhan suami juga," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2022 @ 5:07pm
d