rap

Afieq pertimbang jalani pembedahan lutut dalam tempoh terdekat

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara Afieq Shazwan masih berbelah bahagi untuk melakukan pembedahan selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut kiri sewaktu melakukan aktiviti sukan badminton awal Oktober lalu.

Afieq berkata, kejadian itu mengakibatkan kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) separa koyak sekali gus menghalang dirinya melakukan aktiviti lasak.

"Kecederaan itu berlaku ketika saya bermain badminton. Doktor menyarankan saya menjalani pembedahan untuk menjahit tisu yang koyak.

"Walau bagaimanapun proses itu akan mengambil waktu yang panjang kerana selepas pembedahan dibuat saya perlu melakukan fisioterapi. Jadi sekarang ini saya agak berbelah bahagi untuk meneruskan pembedahan ini kerana ia akan mengganggu kerja seni saya tahun ini.

"Sekarang ini saya masih boleh berjalan tapi aktiviti lasak memang sudah tidak boleh. Saya juga tidak boleh menari termasuklah kalau nak menyanyi kena jalan berhati-hati," katanya.

Menurut Afieq, doktor juga sudah memaklumkan pembedahan adalah jalan terakhir yang perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak baik.

"Doktor memang sudah beritahu jalan terakhir adalah pembedahan atau saya perlu lebih berhati-hati ketika bergerak kerana jika tidak kemungkinan sakit itu akan lebih parah, silap-silap saya pijak pun dah tak rasa selepas ini.

"Kalau saya tak buat pembedahan ini kemungkinan kesannya akan berlaku sampai tua. Jadi saya bercadang untuk melakukan pembedahan tahun depan.

"Kecederaan ini amat memberi kesan sebab beberapa kali juga nak terseliuh sebab rasa lutut 'nak' terkeluar," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2022 @ 3:34pm
d