rap

Yusuf hadkan babak sentuhan dengan pelakon wanita

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Yusuf Bahrin lebih berjaga-jaga dalam menjayakan sesuatu watak terutamanya, membabitkan sentuhan dengan pelakon wanita yang bukan muhrim.

Yusuf berkata, selepas berumah tangga dengan isteri yang juga penyanyi Zizi Kirana, dia lebih selesa meletakkan had dalam lakonannya.

"Selepas berkahwin, saya memang lebih berjaga-jaga sebab saya perlu jaga hati isteri. Bila ada watak bersentuhan, saya hadkan.

"Sebelum kahwin, memang saya lebih terbuka, namun, masih ada batasan. Lagi pula, saya Muslim, jadi kena ada batas.

"Bila dah berkahwin, bukanlah tak ada babak bersentuhan, cumanya, bukan bersentuhan yang terang-terangan atau 'daring'," katanya.

Menurutnya, dia akan mencari jalan lain setiap kali perlu melakukan babak-babak bersentuhan.

"Saya gunakan logik akal, contohnya saya tarik beg tangan artis wanita yang bergandingan dengan saya dalam sesuatu babak.

"Atau, saya tarik baju atau jaketnya untuk elakkan bersentuhan. Babak 'sweet' pun, saya takkan buat babak berpeluang dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, dia juga melakukan proses perbincangan dengan jurukamera serta pengarah fotografi.

"Saya bincang dengan jurukamera dan pengarah fotografi untuk menggunakan trik kamera," katanya.

Terbaharu, Yusuf kini membintangi drama bersiri berjudul Jesnita arahan Emi Suffian yang ditayangkan di Astro Prima bermula 7 November ini.

Disiarkan pada: October 30, 2022 @ 1:14pm
d