rap

Pencipta Pegang Waktu bolot DKD, Pengarah TV Terbaik ASA

Oleh Norhayati Nordin dan Syafil Syazwan Jefri

Putrajaya: Telefilem Pencipta Pegang Waktu dinobatkan Anugerah Drama TV Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Karya terbitan Nor Shahila Harun Shah yang disiarkan TV3 itu membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai berjumlah RM5,000, dan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.

Terdahulu, drama berkenaan juga memenangi Anugerah Pengarah TV Terbaik yang menjadi milik Zainur Hisyam Samudin dengan menerima trofi dan wang tunai, RM5,000.

Satu lagi, pemenang yang menerima dana DKD bernilai RM150,000, trofi dan wang tunai RM5,000 ialah Anugerah Dokumentari TV Terbaik yang dimenangi Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie disiarkan Astro.

Sementara itu, pelakon berkaliber, Fauziah Nawi dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa pada malam kemuncak ASA 2022 ini yang membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta sumbangan penaja utama.

Bagi kategori utama lain, antaranya ialah Pelakon TV Lelaki Terbaik yang dimenangi pelakon Eman Manan menerusi telefilem Satu Kampung Dua Orang dan Pelakon TV Wanita Terbaik ialah Khatijah Tan menerusi telefilem Rabak.

Untuk kategori radio pula, pelakon Beto Kusyairy dinobatkan Pelakon Lelaki Drama Radio Terbaik menerusi drama Anugerah Terindah dan pelakon Lisdawati meraih anugerah Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik melalui drama Akhirnya Bahagia Meluruh.

Skrip Drama TV Terbaik dimenangi Sham Hashim menerusi drama Scammer di Astro Ria.

Begitu juga, anugerah Skrip Drama Radio Terbaik dimenangi Syikin Zauzi menerusi Akhirnya Bahagia Meluruh dan kategori Drama Radio Terbaik menjadi milik Anugerah Terindah yang disiarkan Salam FM.

Sebanyak 34 kategori anugerah disampaikan pada acara malam kemuncak ini yang mengiktiraf karya tempatan termasuk penggiat seni dari pelbagai kaum yang menyumbang keringat di belakang tabir.

Enam tahun menyepi sebelum ini, ASA 2022 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) kembali selepas kali terakhir diadakan pada 2016 lalu.

Pada acara paling berprestij ini, turut dihadiri Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang menyampaikan anugerah untuk kategori Drama TV Terbaik, Dokumentari TV Terbaik dan Tokoh Seri Angkasa bagi Anugerah Khas.

Disiarkan pada: October 31, 2022 @ 1:21am
d