rap

Amelia Henderson terus 'lawan' A Aida

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Pelakon, Amelia Henderson, 27, memilih untuk tidak menyelesaikan kes saman yang dikemukakan penerbit, Datuk A Aida secara baik pada hari pertama perbicaraan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Amelia menegaskan, dia yakin dirinya berada di pihak yang benar dalam kes saman itu.

"Saya ada keyakinan. Saya rasa tidak bersalah. Jadi saya tidak takut. Saya yakin dengan peguam saya dan yakin dengan kes saya," katanya yang mengakui baru pertama kali berhadapan dengan kes saman di mahkamah.

Amelia ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas tamat perbicaraan hari pertama kes saman itu di Mahkamah Sesyen.

Ditanya mengenai keputusan Idris Khan yang menyelesaikan kes saman di luar mahkamah, Amelia berkata, itu terpulang kepada hak masing-masing.

"Saya ok. Saya selalu sokong keputusan kawan saya dan dia ada hak untuk membuat keputusan untuk dirinya, " katanya.

Terdahulu, dalam prosiding hari pertama perbicaraan, Amelia kekal dengan keputusan untuk meneruskan perbicaraan.

Sebelum itu, media melaporkan kes saman membabitkan penerbit sensasi, A Aida bersama Idris berakhir dengan damai apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.

Keputusan itu dibuat selepas A Aida selaku plaintif menarik balik saman terhadap Idris ketika perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan.

Dalam prosiding, peguam mewakili Idris selaku defendan kedua iaitu Jason Wee memohon supaya kes berkenaan diselesaikan secara baik di luar mahkamah yang mana ia turut dipersetujui oleh pihak A Aida sendiri.

Susulan kes berkenaan mendapat kata sepakat kedua-dua pihak, Hakim Zulqarnain kemudian merekodkan persetujuan penyelesaian.

Terdahulu, Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara itu ke mahkamah sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.

Disiarkan pada: November 1, 2022 @ 4:29pm
d