rap

Idan Aedan capai impian berlakon produksi antarabangsa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang berlakon dalam naskhah antarabangsa. Rasa macam mimpi pun ada," kata pelakon remaja, Idan Aedan, 18, apabila menjadi pelakon tempatan pertama yang membintangi siri Netflix antarabangsa.

Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah melakonkan watak utama, Tyar dalam siri 13 episod, Mr Midnight : Beware The Monsters yang menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan tahun lalu.

"Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Sebab tidak pernah terbayang untuk sampai ke tahap ini. Umur saya baru 17 tahun ketika itu. Apa pun, ini rezeki saya. Alhamdulillah.

"Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya. Dapat pula berlakon dalam drama bergenre kesukaan saya iaitu seram. Tipulah kalau saya cakap tak pernah impi mahu berlakon dengan produksi antarabangsa. Cuma, saya tak sangka rezeki datang terlalu cepat," katanya.

Siri itu menampilkan tiga pengarah dan turut dibintangi pelakon hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai.

Menerusi siri itu, Idan yang juga pelakon filem Anak Rimau The Movie bergandingan dengan pelakon remaja popular dari Indonesia iaitu Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier.

"Saya juga berasa bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon Caleb Monk, Chen Yixin, Nikki Dekker dari Australia. Ia kenangan manis dan tak dapat saya lupakan. Pada usia yang muda dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang tak pernah saya terfikir.

"Selain pengarah dan berlakon dengan pelakon yang hebat, cara bekerja juga amat berbeza. Bukan saja belajar mengenai lakonan, saya turut diberikan pendedahan mengenai kerja kamera dan teknikal lain yang membuatkan saya boleh memahami keseluruhan perjalanan cerita itu," katanya.

Dalam masa sama, Idan akui tidak berdepan masalah dari segi penggunaan bahasa Inggeris dalam siri itu.

"Saya tidak pernah mengambil kelas bahasa Inggeris, namun ibu saya sering menggalakkan untuk saya menonton program televisyen berbahasa Inggeris sejak kecil lagi.

"Cuma pada awal penggambaran tu saya agak kekok kerana pengarah dan semua kru bercakap dalam bahasa Inggeris. Sebelum penggambaran, saya 'back to back' buat filem Melayu, tiba-tiba sampai di lokasi siri ini, semua bercakap bahasa Inggeris. Agak terkejut juga, tapi selepas itu dah okey," katanya.

Bercerita lanjut mengenai watak Tyar dalam siri adaptasi novel popular di Singapura itu, Idan berkata, Tyar boleh melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus disebabkan keturunan sebelah ibunya adalah dukun.

Disiarkan pada: November 3, 2022 @ 2:34pm
d