rap

Ahmad Idham, Azmeer terima PhD hari ini

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sintok: Walaupun sibuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), ia tidak menghalang calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri hadir ke Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menerima Ijazah Doktor Pengurusan (PhD) hari ini.

Pelakon serta pengarah terkenal ini berkata kehadiran beliau di UUM hari ini sekali gus menafikan spekulasi netizen dan pihak tertentu yang mendakwa beliau memilik ijazah PhD palsu dan dibeli.

"Saya bertolak ke Perlis petang semalam selepas tamat proses penamaan calon dan akan pulang ke Port Dickson untuk memulakan kempen di sana esok.

"Saya tamat pengajian pada 2019. Bagi saya apa yang saya genggam hari ini saya sudah buktikan kepada netizen dan pihak tertentu yang sebelum ini dakwa saya beli PhD dan palsu. Alhamdulillah saya hari ini menjawab soalan itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-34 UUM di Dewan Mu'adzam Shah di sini, hari ini.

Ahmad Idham ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kamalanthan; Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan Harapan), Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional) dan Abdul Rani Kulup Abdullah (Bebas).

Ahmad Idham, 51, berkata PhD yang dimiliki beliau juga dapat memenuhi kriteria kelayakan akademik yang dititik beratkan oleh Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad selain calon perlu ada rekod bersih untuk menjadi pemimpin masa depan.

Ketika ditanya mengenai perancangan beliau selepas ini, katanya beliau akan memberi tumpuan meneruskan aktiviti kempen di Port Dickson esok dan memberi khidmat masyarakat sekiranya menang di Parlimen berkenaan.

Sementara itu, komposer dan penulis lirik, Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer turut menerima PhD Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya pada majlis konvokesyen itu.

Azmeer, 56, yang kini pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, berkata kejayaannya itu dapat membanggakan bapanya Abu Bakar Mohd Ishak, 87, selain boleh mencurah ilmu kepada generasi muda dengan ilmu yang beliau kuasai.

"Saya turut berhasrat membukukan tesis saya untuk rujukan anak-anak muda, walaupun fizikal macam ini, saya sabar dan buat kadang-kadang sampai 12 jam hingga 14 jam sehari taip tesis. Inilah hasil yang saya dapat hari ini, " katanya.

Ahmad Idham dan Azmeer adalah antara seramai 6,611 graduan yang menamatkan pengajian pada 2021 menerima Ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen itu yang bermula hari ini sehingga 10 November.

Daripada 6,611 graduan yang akan hadir menerima ijazah masing-masing di majlis konvokesyen kali ini, 5,537 merupakan graduan Sarjana Muda manakala 1,074 pula graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah.

Pada hari pertama konvokesyen hari ini, seramai 275 graduan menerima ijazah masing masing yang disampaikan oleh Canselor UUM, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Disiarkan pada: November 6, 2022 @ 5:00pm
d