rap

Talbis Iblis kutip RM4 juta

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Filem Talbis Iblis yang memasuki minggu ketiga ditayangkan di pawagam berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta setakat ini.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai berkata mereka berharap kutipan itu akan meningkat naik dan lebih ramai menontonnya pada hujung minggu ini.

"Kami sebenarnya tidak meletakkan sasaran pecah panggung daripada segi angka. Tapi daripada reaksi penonton kami sangat berpuas hati dengan kutipan yang sudah melebihi RM4 juta setakat hari ini (Isnin).

"Kami mendapati kutipan keseluruhan filem di panggung tengah menurun pada sebulan dua yang lalu. Kami berterima kasih kepada pihak wayang sebab sudi memberi kami lebih daripada 100 panggung walaupun filem ini sudah masuk minggu ketiga tayangan.

"Kami juga berharap agar lebih ramai lagi penonton akan ke panggung untuk menyaksikan filem ini pada hujung minggu ini," katanya.

Diarahkan Kabir Bhatia, Tablis Iblis berkisar seorang gadis dikenali sebagai Hajar yang dihantar ke sebuah tempat jauh dari kota untuk melahirkan bayi secara rahsia.

Namun, bidan Mak Ju yang menjaga Hajar mempunyai perancangan lain terhadap gadis itu.

Selain Zul Ariffin yang membawa watak Nasir, filem terbabit menampilkan lakonan hebat Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Sherie Merlis dan Jay Iswazir.

Diterbitkan Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment, filem Talbis Iblis ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Singapura sejak 20 Oktober lalu.

 

Disiarkan pada: November 8, 2022 @ 8:15am
d