rap

Shuib dah ada 'kawan'

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib mengesahkan sedang berkawan dengan wanita dikenali Watie Hanifiah.

Shuib berkata demikian selepas tular foto hantaran Instagram Shuib yang menampakkan pantulan imej seorang wanita yang dipercayai wanita itu pada cermin sebuah restoran mewah.

"Saya tidak nafikan, kami dalam fasa baru berkawan," katanya ringkas kepada Harian Metro.

Menerusi perkongsian itu, Shuib bergambar bersama dua anaknya iaitu Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.

Hantaran Shuib menjadi perhatian ramai sekali gus mencetuskan spekulasi mendakwa mereka sedang bercinta.

Sebelum ini, bapa kepada empat orang anak itu pernah menafikan hubungan istimewa dengan wanita itu.

Terdahulu, sejak kematian Allahyarham Siti Sarah akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu, Shuib kerap dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita tanah air.

Antara nama yang sering disebut ialah Siti Nordiana, Wan Sharmila dan Zara Zya. Selain Talita dan Matin, Shuib mempunyai dua orang lagi cahaya mata Uwais Alqarni, 11, dan Ayash Affan hasil perkahwinannya dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011.

Disiarkan pada: November 9, 2022 @ 3:57pm
d