rap

Sheila Abdull lahir anak kedua

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Sheila Abdull, 32, melahirkan anak kedua seberat 3.8 kilogram (kg) menerusi kaedah pembedahan pada 1 November lalu di sebuah pusat perubatan di Johor.

Sheila ketika dihubungi berkata, keadaannya dan bayi perempuan itu berada dalam keadaan baik.

Sheila dan suaminya yang juga bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir berhasrat untuk menamakan anak kedua mereka sempena nama bunga klasik.

"Memandangkan kakak (anak pertama) yang kini berusia tiga tahun dinamakan Chempaka Alaya, jadi kami nak namakan bayi ini Dahlia Aluna.

"Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 8 November, tapi bayi baru 39 minggu dah 3.8 kg. Jadi tak nak tunggu tarikh itu takut dia semakin membesar. Jadi, kami pilih 1 November untuk menjalani pembedahan," katanya kepadanya Harian Metro.

Penyanyi lagu Mungkinkah itu berkata, buat masa ini dia mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga terlebih dulu.

"Minat untuk menyanyi tetap ada, tapi buat masa ini memang tiada perancangan lagi. Apapun kena tengok bagaimana situasinya nanti," katanya.

Sheila atau nama sebenarnya Nursheila Abdullah pernah bertugas dengan syarikat penerbangan Malindo selama empat tahun.

Dia bagaimanapun ditamatkan kontrak pada Oktober 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 2:41pm
d