rap

Zul Huzaimy minta maaf

 Kuala Lumpur : Pelakon Zul Huzaimy memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terhadap penyebaran klip videonya yang kontroversi.

Zul berkata, mungkin ada yang tersalah anggap dengan apa yang diucapkan dalam klip yang sudah disuntimg oleh seseorang yang mengatakan dirinya terlalu ekstrim sehingga mahu menyembelih orang bukan Islam di Malaysia.

"Salah tu. Anda harus dengar ucapan saya yang penuh di mana saya menyatakan begini, kepada saudara-saudara 'non muslim' (bukan Islam), kita harus menjaga mereka kerana mereka ini menyokong pemerintahan negara kita sebagai negara Islam dan begitu baik.

"Wajib seorang pemimpin yang beragama Islam menjaga mereka. Itu yang pertama. Yang keduanya adalah yang saya sebut sebagai kafir harbi. 

"Ini adalah musuh Islam yang nyata. Maksud saya di sini ialah 'non muslim' yang benci Islam, suka perkauman, buat hal sehinggakan tak benarkan azan di sesetengah tempat terlalu kuat," katanya menerusi video di Instagram.

Zul Huzamyi berkata, semalam dia mendapat satu video di mana ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang bergendang dengan kuatnya di depan sebuah masjid ketika sedang azan Isyak.

"Jadi benda-benda beginilah yang kita harus faham. Yang saya maksudkan, kaum-kaum "non muslim' yang segelintir ini. Kena faham di situ. Saya bukanlah seorang yang terlalu ekstrim untuk suka bergaduh dengan orang. Tidak!

"Saya pun bersahabat dengan kawan-kawan kaum India, Cina dan Sikh. Arwah ibu saudara saya pun kaum Cina beragama Islam.

"Kawan saya Adam Corie juga kaum Cina beragama Islam. Yang saya maksudkan bila mana ada sesetengah pihak yang cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam ini. Agama rasmi Malaysia. Itu maksud saya," katanya.

Zul tidak mahu perkara-perkara ini disensasikan sebagai 'hate speech'. 

"Ini yang saya nak nyatakan di sini. Saya bukanlah buat 'hate speech' di mana suka nak timbulkan isu perkauman, nak minta orang bergaduh antara agama.     Tidak. Ingat, yang kita nak adalah sama-sama menghormati. Anda agama anda, saya agama saya. Hidup di Malaysia ini  saling bekerjasama dan akhirnya kita akan bahagia dan aman 

   "Yang tak aman, bila ada yang terlalu ekstrim ini. Saya pun tidak menyokong kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrim. Bunuh membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang negara," katanya. 

Zul berkata, dia tidak menyokong budaya sebegitu dan memohon kepada warganet yang salah faham dapat memahami kenyataannya secara jelas dan akhirnya semua rakyat Malaysia hidup dengan aman.

Terdahulu, tular rakaman video ceramah pelakon itu di atas pentas dikaitkan dengan Pas, mengandungi kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

Kenyataan sensitif pelakon terbabit dikatakan dirakam pada satu program di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lalu.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 10:47pm
d