rap

'Doakan moga diberikan kekuatan dan hidayah' - Lia

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya belum bertudung sepenuhnya, tapi keinginan itu sentiasa ada," kata pelakon Lia Natalia mengenai penampilan terbaharu yang dikongsikan di Instagram sempena ulang tahun kelahiran ke-30 pada 12 November lalu.

Lia berkata, foto bertudung yang dikongsikan adalah ketika menghadiri satu acara keagamaan sekali gus menolak tanggapan orang ramai dirinya sudah berhijab.

"Saya memang nak bertudung tapi saya tak mahu perubahan itu dilakukan kerana saya mengikut trend atau fesyen serta melihat kawan-kawan bertudung.

"Saya nak keputusan bertudung ini biarlah muktamad dan selama-lamanya. Tetapi buat masa ini saya belum bersedia ke arah itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lia, dia terharu apabila ramai pihak yang mendoakan agar dirinya berhijab selain ada juga yang memuji penampilannya itu.

"Saya menerima banyak komen positif daripada peminat. Malah ramai juga yang minta saya teruskan dengan imej berhijab ini.

"Doakan semoga saya diberikan kekuatan dan hidayah. Saya juga sedar yang memakai tudung ini adalah wajib bagi menutup aurat," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 3:04pm
d