rap

Ungku Ismail rindu Nad Zainal, dulu ceria sekarang sunyi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Ampang: Pelakon, Ungku Ismail Aziz, 36, yang mengesahkan sedang rapat dengan Nad Zainal, 32, tanpa berselindung mengakui kini merindui teman wanitanya itu.  

Menurutnya, sejak Nad sakit, kehidupannya yang selama ini ceria kini bertukar sunyi. 

"Saya sayang dia sebagai manusia. Dia sangat baik dan bertimbang rasa. Saya juga rindu untuk meluangkan masa dengannya pergi makan berdua.

"Kami suka mencuba makanan di semua restoran di Kuala Lumpur. Apabila jadi begini tentulah lain jadinya. Apapun saya okey kerana ini adalah ujian untuk kami berdua," katanya ketika ditemui di pusat perubatan yang menempatkan Nad, di sini, hari ini. 

Ungku Ismail menjadi watak penting yang bertanggungjawab berkongsi perkembangan terkini kesihatan Nad kepada peminat menerusi laman sosialnya serta kepada media.

Dalam masa ini, dia memohon orang ramai lebih fokus mendoakan kesembuhan Nad, berbanding perhubungan mereka.

"Cerita kami ini adalah selepas dia bercerai. Bila dia isteri orang, tak mungkin kami nak rapat. Saya mula rapat dengannya ketika kami bersama-sama menjayakan penggambaran drama Cina Buta. 

"Selepas itu, saya mengajak dia merakamkan program travelog dan dia okey walaupun penggambaran itu membabitkan kos. Dia sanggup buat bersama-sama dan melabur. Kita tahu susah nak mencari pelakon yang boleh melakukan perkara ini bersama-sama tapi dia setuju dan suka," katanya. 

Kerjasama yang terjalin membuatkan hubungan mereka semakin rapat dan akuinya, dia tidak mampu menipu diri sendiri.

"Tipulah kalau saya cakap saya tiada hati. Cuma sekarang saya tak mahu berikan kata pasti atau kata putus, mengenai apa hubungan saya dengan dia.

"Kita sekarang mahu fokus pada kerja kita dan menjayakan travelog ini. Malah kami sepatutnya ke Jepun, esok tapi ia terpaksa ditunda dalam keadaan begini. 

"Saya melaporkan perkembangan terkini Nad juga atas tanggungjawab sebagai sahabat," katanya.  

Ungku Ismail berkata, Nad kini sedang sakit dan dia tidak boleh menjauhkan diri dari teman rapatnya itu.

"Ibu bapa saya tak ajar begitu. Iyalah kami rapat, bila bangun pagi dapat mesej daripada dia. Jadi bila perkara itu tiada, saya rasa sunyi.

 "Saya tak nak komen soal hati dan perasaan, tapi jujurnya 'spark' di antara kami kuat. Namun sejauh mana hubungan ini, kita doakan yang terbaik. Boleh cakap kami memang rapat dan sedang mencari sesuatu yang terbaik. Saya juga tahu ramai yang nak tengok sama ada betulkah saya akan bertahan. 

"Saya pohon semua orang dan peminat terus mendoakan Nad Zainal kembali sihat seperti sediakala," katanya sambil menahan sebak dan dilihat menitiskan air mata. 

Mengulas keadaan terkini Nad, Ungku Ismail berkata, doktor memaklumkan  pihak hospital memutuskan untuk menambah rawatan baharu. 

"Dia sudah ada perubahan positif cumanya doktor tidak mahu ambil mudah dengan perkara itu. Ada penambahan rawatan baru selain rawatan yang sedia ada untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

"Sekarang ini doktor cuba memberikan rawatan dengan lebih efisien lagi. Maksudnya kalau ada rawatan yang diperlukan terus bertanyakan kepada keluarga.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan Nad yang membuat bacaan Yasin," katanya.

Terdahulu Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, dilaporkan kritikal susulan pendarahan pada bahagian paru-paru.

Ungku Ismail turut memaklumkan doktor mengesyaki Nad mengalami autoimun.

"Ia cuma kerana paru-parunya berdarah. Ia bukan Covid-19 atau long Covid dan saya dah bosan dengan kenyataan sebegitu," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 9:03pm
d