rap

Ujian untuk Nad Zainal buat Marsha Milan menitis air mata

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: Marsha Milan menitiskan air mata ketika diminta berkongsi mengenai dugaan yang melanda sahabatnya, Nad Zainal yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Ampang akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Marsha ketika ditemui berkata, dia sempat meluangkan masa untuk menziarahi Nad beberapa hari lalu.

"Kami memang rapat sebab berada dalam satu kumpulan WhatsApp. Jadi, memang kami semua sering berhubung di situ dan ada banyak rancangan yang dirancang.

"Ketika melawat, saya rasa sangat sedih. Lebih-lebih lagi nampak anak-anaknya ada di sisi.

"Mereka masih kecil dan masing-masing belum faham situasi yang berlaku. Walaupun saya masih belum ada pengalaman menjadi ibu, saya dapat rasakan kesedihan itu," katanya.

Marsha turut mendoakan supaya Nad diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sedia kala.

"Alhamdulillah, dalam ujian yang menimpa Nad, kita dapat lihat ramai rakan-rakan artis dan penggiat seni turut hadir memberi sokongan dan doa kepadanya. Begitu juga di media sosial.

"Waktu menziarah, saya pegang tangannya dan bisikkan kata-kata semangat kepadanya. Saya kata kepadanya, kena kuat dan teruskan perjuangan untuk anak-anak yang menunggu," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 8:27pm
d