rap

Afiq Muiz buat laporan polis, ambil tindakan undang-undang

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Afiq Muiz, 30, mengambil langkah segera dengan membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, Selangor, semalam, bagi membersihkan namanya yang dicalarkan oleh bekas isterinya, Pachara Apin.

Afiq atau nama sebenarnya, Muhammad Afiq Muiz turut mengambil tindakan undang-undang berhubung fitnah yang dilemparkan oleh Pachara sehingga mencalarkan maruahnya dan keluarga.

"Laporan polis sudah dibuat, tunggu tindakan seterusnya dari peguam kami atas fitnah yang dilemparkan," tulisnya beserta paparan di Instagram.

Menerusi paparan yang dimuat naik, pelakon lelaki itu turut berkongsi gambarnya di hadapan balai berkenaan sambil menunjukkan dokumen sebagai bukti laporan yang dibuat.

Sebelum ini, Pachara yang juga pelakon berasal dari Ranau, Sabah itu memuat naik kenyataan di laman Facebook dan TikTok mendakwa Afiq pernah memgasarinya  sehingga membuatkan kaki serta jarinya patah.

Luahan dan perkongsian Pachara turut meraih komen balas adik kepada Afiq, Aishah Azman yang nyata bengang dengan tindakan wanita itu kerana didakwa membuat kenyataan palsu di media sosial.

Terdahulu, kontroversi tercetus rentetan pesanan Afiq kepada pendakwah selebriti, Dai Syed yang baru-baru ini bertunang agar jangan menjadikan wanita sebagai 'permainan'.

Berita berkenaan kemudian dikongsikan dalam Facebook seorang individu berserta kapsyen yang mendakwa pelakon itu memukul bekas isterinya.

Selepas itu, Pachara pula mengulang siar hantaran itu dalam Facebook dan TikTok miliknya seolah-olah mengesahkan dakwaan berkenaan.

Menerusi tinjauan, akaun TikTok milik Pachara pula difahamkan sudah diubah kepada 'mod privasi' selepas Aishah tampil membuat  kenyataan balas.

Terdahulu, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. 

Begitupun, difahamkan mereka sebenarnya sudah bercerai, namun, masing-masing sehingga sekarang belum mendedahkan tarikh perceraian itu.

 

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 10:22am
d