rap

Taruhan kedua DLB

Oleh Norhayati Nordin

REZEKI bergelar naib juara program nyanyian, 'All Together Now Malaysia' (ATNM) nyata membuka peluang bermakna buat duo dikenali sebagai Dem Lepak Boyz atau DLB untuk mengembangkan bakat mereka dalam bidang nyanyian.

DLB yang dianggotai dua penari profesional iaitu Zaidy dan Hazel, kedua-duanya amat gembira kerana impian bergelar penyanyi kini menjadi kenyataan lagi.

Mereka kini tampil menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu, Jerat yang dicipta sepenuhnya oleh komposer John Jeeves dan diterbitkan Rocketfuel Entertain

ment.

Anggotanya, Zaidy berkata, dia dan Hazel amat gembira apabila DLB mendapat peluang lagi untuk muncul dengan single baharu. Katanya, DLB sebelum ini pernah hadir dengan single Abang Datang.

"Kami sebenarnya rasa bersyukur di atas penerimaan lagu pertama iaitu Abang Datang yang dilancarkan awal tahun ini. Walaupun masih ramai pendengar kurang biasa dengan genre yang kami bawakan dalam lagu itu (Abang Datang), namun maklum balas diterima tetap positif.

"Tak sangka juga lagu Abang Datang berjaya membuatkan segelintir pendengar muzik masa kini boleh 'terjatuh cinta' dengan melodinya yang 'catchy' dan lirik pula mudah diingati.

"Terima kasih buat semua pendengar yang menyokong single pertama DLB itu dan kini kami kembali lagi dengan buah tangan baharu yang lebih rancak menerusi Jerat," katanya.

Berbicara mengenai lagu Jerat itu, Hazel pula berkata, ia menceritakan kisah dua lelaki 'mata keranjang' yang berjaya ditundukkan seorang wanita.

Katanya, bagaimanapun mereka jadi bingung sama ada wanita yang diinginkan itu benar-benar ikhlas dalam perhubungan dijalinkan atau sekadar memasang perangkap.

"Kami mengambil masa lebih sebulan untuk menghasilkan lagu ini kerana ia memerlukan 'guide' (panduan) muzik terlebih dulu dan seterusnya baru kami berbincang bersama komposer mengenai susunan muzik yang sesuai.

"Manakala muzik video (MV) Jerat pula, kami tidak menekankan kepada jalan cerita yang khusus, namun lebih menonjolkan konsep retro ala 1970-an seperti era disko melalui tarian yang dibawakan," katanya.

Sebagai pendatang baharu seni suara, DLB juga mengakui mereka sedar pastinya bakal berdepan cabaran besar iaitu bersaing dengan penyanyi sedia ada.

Bagi Zaidy dan Hazel, mereka melihatnya sebagai lumrah dan terus berusaha selagi mendapat peluang. Mereka berkata, setiap rezeki untuk manusia itu sudah ditetapkan Allah, cuma jangan cepat kecewa selain teruskan usaha.

Sehubungan itu, lagu Jerat kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh dinikmati juga melalui aplikasi penstriman utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Bagi muzik videonya boleh ditonton di YouTube Rocketfuel Network.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 6:03am
d