rap

Maya Karin kena 'panic attack'

Oleh Najiy Jefri

Melaka : Pelakon, Maya Karin mendedahkan dirinya diserang 'panic attack' atau serangan panik ketika menyampaikan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang bersiaran secara langsung di Encore Melaka, di sini, malam kelmarin.

Situasi itu disaksikan penonton di dewan berkenaan serta penonton di rumah apabila pelakon jelita itu tiba-tiba menggigil dan gagal menyeimbangkan badan ketika membacakan anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik ketika itu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Maya berkata, dia berterima kasih kepada rakan penyampainya yang juga pelakon handalan, Faizal Hussein kerana menjadi penyelamat daripada terjatuh di pentas.

"Hero saya semalam, sangat 'gentleman', siap kutip kasut saya yang tertinggal di pentas," tulisnya di Instagram.

Pada malam anugerah yang bersiaran di TV2 itu, Maya sempat meminta maaf dan terpaksa memegang bahu Faizal untuk memastikan dia tidak terjatuh atau tersungkur.

Maya juga dilihat membuka kasut tumit tingginya dan meneruskan dengan membaca skrip yang disediakan walaupun dalam keadaan menggigil.

Rata-rata pengikut bersimpati dengan keadaan kesihatannya dan berterima kasih kepada Faizal yang sentiasa memastikan pelakon kesayangan itu berada dalam keadaan baik.

"Siap 'standby' tangannya di belakang. Mungkin bimbang jika anda pitam atau apa," tulis seorang pengikut.

"Saya dah boleh agak masa tengok kak Maya menggigil. Serangan panik, semoga selalu kuat ye. Kami semua cintakan anda. Suka betul tengok hero sangat 'gentleman'," kongsi seorang lagi pengikut.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 8:24am
d