rap

Ashira dikata 'gila jantan'

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Biarpun dituduh 'gila jantan' oleh sesetengah pihak, penyanyi Ashira kekal tenang dan tidak mudah melatah dengan gelaran buruk yang diberikan kepadanya itu.

Malah, Ashira sempat membuat lawak dengan teman lelakinya dikenali Fairul Ezuan menerusi satu hantaran video di TikTok.

"Abang E (panggilan Ezuan) ceritanya begini, ada orang cakap saya gila 'menjantan'. Jadi, saya gila atau mereka yang gila?," kata Ashira dalam video itu.

Kemudian pertanyaan kepada Ezuan itu dibalas lelaki terbabit yang mengatakan dia yang gila hingga mereka berdua tidak dapat menahan ketawa.

Perkongsian Ashira itu mendapat lebih 26,000 tontonan dan 21 komen.

Rata-rata peminat terhibur dengan soalan lucu yang diajukan Ashira kepada Ezuan.

"Aduhai romantiknya ayat tu," tulis seorang pengikut.

"Kenapa dia cakap dia yang gila. Hahaha… kelakar," kongsi seorang lagi pengikut.

"Mereka dengkilah tu. Ashira tetap lawa," kata seorang pengikut.

Terdahulu, Ashira mendedahkan dirinya sedang bahagia mengenali lelaki bernama Fairul Ezuan. Namun, belum terfikir untuk kembali mendirikan rumah tangga.

Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, berkata, dua kali gagal dalam perkahwinan sebelum ini membuatkan dia masih trauma untuk kembali bergelar isteri.

Sebelum ini, Ashira mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan Indigo, Bad pada 11 Mac tahun lalu. Bagaimanapun mereka mengumumkan sudah bercerai menerusi hantaran video pada 23 Jun lalu.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 12:07pm
d