rap

'Scammer' menyamar Datuk DJ Dave

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave menasihatkan rakan-rakan atau mana-mana pihak supaya tidak terpedaya dengan 'scammer' yang menyamar sebagai dirinya.

Dave berkata, ada seorang lelaki menggunakan gambar profil WhatsAppnya bertujuan untuk meminjam wang daripada mangsa-mangsanya.

"Semalam saja saya dah menerima lebih 200 panggilan telefon yang mengatakan hampir terkena dengan taktik 'scammer' ini dan juga mesej-mesej turut diterima.

"Sebelum ini, saya ada mendengar daripada sahabat-sahabat berkenaan 'scammer' ini tapi tidak sangka terjadi pada saya hari ini.

"Terkejut saya kerana gambar yang digunakan itu sememangnya gambar profil saya," katanya kepada Harian Metro.

DJ Dave sudah membuat laporan polis berkenaan isu itu dan mengharapkan ia tidak berlaku lagi terhadapnya atau tidak berlaku kepada orang lain.

"Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa saya tidak terbabit dan sekiranya masih ada yang menerima hantaran WhatsApp berkenaan silalah hubungi saya terus atau pengurus saya.

"Anda juga boleh semak di status WhatsApp saya. Tidak cukup itu, petang semalam pula 'scammer' ini sudah godam aplikasi Telegram saya menggunakan nombor saya dari Telegram.

"Dia seterusnya hantar pada semua nombor yang ada di aplikasi itu. Saya minta semua berjaga-jaga dengan taktik ini," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 1:17pm
d