rap

Bella Astillah, Aliff Aziz terkena 'sihir pemisah'

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Ada yang menghantar sihir pemisah rumah tangga. Kalau kata kami nak berpisah, kenapa tak berpisah dari dulu saja masa banyak kes yang terjadi antara saya dan Alif."

Demikian kata pelakon Bella Astillah yang mendedahkan  dia dan keluarganya berdepan dengan gangguan sihir atau ilmu hitam selama lebih sebulan yang dihantar oleh seorang wanita tidak dikenali. 

Bella berkata, dia bersyukur apabila suaminya yang juga penyanyi, Aliff Aziz sentiasa berada disampingnya dan tidak menolak untuk menjalani rawatan alternatif.

"Apa yang kami lalui selama lebih sebulan ini tak okey. Tapi saya bersyukur apabila Aliff tidak pernah menolak setiap kali saya ajak pergi berubat sebab dia sendiri pun dapat rasakan perubahan terhadap dirinya. Begitu juga dengan saya.

"Kami sampai tak boleh bekerja dan banyak kerja tertangguh. Sejujurnya saya hampir menarik diri daripada terbabit dengan program realiti Famili Duo sebab mengalami masalah suara yang sukar dijangka. 

"Gangguan ini berlaku secara keseluruhan. Saya sangat takut dengan apa yang berlaku sekarang ini. Terlalu berat untuk saya kongsikan. 

"Tapi Alhamdulillah kami semakin pulih sebab Aliff nak pergi berubat. Mungkin sesetengah pasangan, dia tidak mahu atau tak percaya, tapi dia sama-sama nak cari jalan sebab dapat rasakan sesuatu pelik terjadi kepada kami," katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Famili Duo Musim Kedua, di sini, hari ini. 

Menurut Bella, dugaan yang diharungi kali ini cukup berat untuk dipikul, namun dia dan Aliff akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

"Alhamdulillah kami sudah cukup matang sekarang. Jadi, kami anggap apa yang berlaku ini sebagai ujian dan teguran untuk saya.

"Jadi sekarang ini saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian di media sosial. Mungkin sebelum ini saya terlalu kerap berkongsi hingga buat orang tak selesa.

"Aliff sekarang sedang berehat dan dia selalu beri saya sokongan moral. Dia juga selalu ingatkan saya supaya tidak mengalah dan minta saya untuk berjuang menyelamatkan perkahwinan ini.

"Rumah tangga kami nak masuk tahun ketujuh bersama anak-anak. Jadi saya nak ambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas apa yang saya lakukan. Tapi, selepas ini Insha-Allah saya akan lebih berhati-hati dalam berkongsi apa saja di media sosial," katanya.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019. 

Bagaimanapun, mereka rujuk kembali ketika dalam tempoh edah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka juga dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

 

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 6:59pm
d