rap

'Itu cikgu renang anak saya' - Zarina Anjoulie

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Dia cikgu renang anak saya, Martin," kata pelakon Zarina Anjoulie, 35, mengenai video di Tik Tok memaparkan dia bersama seorang lelaki yang didakwa segelintir netizen adalah teman lelakinya.

Zarina atau nama sebenar, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul ketika dihubungi berkata, setakat ini dia tiada perancangan untuk berkahwin.

"Saya kadang-kadang ada juga kawan lelaki. Biasalah, kita kawan-kawan. Kalau nanti saya betul-betul ada 'boyfriend' (teman lelaki), saya akan beritahu.

"Dia itu cikgu 'swimming' (renang) Martin. Kami hanya kawan," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Terdahulu, menerusi hantaran video di TikTok DS Elzey yang kini sudah dipadam, rata-rata komen ditinggalkan netizen kepada Zarina dan lelaki itu sangat positif, termasuk mendoakan yang baik-baik buat pelakon berkenaan agar dipertemukan jodoh boleh memimpin dan melindunginya.

Zarina yang sering terpalit dengan cerita sensasi adalah ibu tunggal kepada seorang anak lelaki dan pernah gagal dalam dua perkahwinannya sebelum ini.

Zarina pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki berasal dari Brunei pada 2015 dan bercerai pada Disember 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Awangki Gabriel Martin Ezra yang kini berusia enam tahun.

Pada 20 Julai 2020, Zarina berkahwin kali kedua dengan Eilyas Azhar, namun mereka dilaporkan bercerai dua kali pada Februari dan Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak memiliki cahaya mata.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 12:58pm
d