rap

Doktor gigi popular di TikTok kini penyanyi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Doktor gigi popular di TikTok, Dr Ben Gee kini mencuba nasib dalam bidang nyanyian menerusi single sulungnya berjudul In Your Face.

Mengangkat mesej anti-buli, Ben mengajak pendengar terutamanya generasi muda untuk tidak mempedulikan 'haters' yang sentiasa ingin menjatuhkan.

"Saya mahu membakar semangat generasi muda melalui lagu saya dan menegaskan bahawa amat penting untuk kita terima dan sayangi diri kita sendiri.

"Jangan peduli dengan 'haters' sebab kita sendiri perlu berani untuk menjadi diri kita yang sebenar," katanya.

Menurut doktor gigi yang memiliki 4.2 juta pengikut di TikTok ini, setiap individu tidak sepatutnya berdiam diri sekiranya menjadi mangsa buli.

"Idea di sebalik lagu ini datang daripada saya sendiri. Sejak kecil, saya cuba untuk 'masuk' dengan semua orang, tetapi menginjak dewasa, saya merasakan bahawa kita tak sepatutnya dibuli dan terus berdiam diri.

"Kita kena berani bangkit dan katakan 'I'm in your face' kepada mereka yang pernah menyelar keberadaan dan keunikan kita sebagai manusia," katanya.

Lagu itu diciptanya sendiri di samping kerjasama dengan beberapa komposer iaitu Dari dan Shaz serta mendapat sentuhan penggubah, Omar K dan John Jeeves.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 3:22pm
d