rap

Zaki Yamani pengsan di sekolah

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi, Zaki Yamani, 16, pengsan sewaktu menjalani peperiksaan di sekolah sebelum dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Kajang, hari ini.

Ibunya, Fatimatuzahra Samad berkata, Zaki mengalami demam dan semput menyebabkan badannya terlalu lemah.

Menurutnya, dia sendiri baru tahu anaknya demam selepas dihubungi pihak sekolah.

"Saya pun baru tahu sebab semalam dia okay saja sewaktu hadir sebuah sidang media. Saya dihubungi guru kelasnya dan terus ke sekolah untuk membawanya ke hospital," katanya.

Menurutnya, keadaan Zaki yang juga anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah memang lemah dan tak bermaya.

"Sepatutnya doktor menasihatkan dia ditahan di wad tetapi Zaki mahu berehat sepenuhnya di rumah kerana Jumaat ini kena hadir latihan konsert.

"Sekarang dia masih tidur tapi keadaannya okay. Dia memang kurang rehat sejak kebelakangan ini selain sekarang pun musim senang diserang demam," katanya.

Fatimatuzahra berkata, penyanyi lagu Slowmo itu pernah mengalami insiden sedemikian juga sebelum ini. Bagaimanapun, ia bukan disebabkan Zaki menghidap penyakit kritikal sebaliknya kesihatan merosot akibat terlalu penat.

"Dia pun memang tak henti bekerja sejak akhir-akhir ini. Mujur keputusannya negatif untuk ujian saringan Covid-19. Dia cuma terlalu kurang rehat hingga demam dan semput," katanya.

Zaki juga dinasihatkan supaya kembali mendapatkan pemeriksaan lanjut jika keadaan masih sama pada sebelah malam.

"Kalau kena tahan susah juga, jadi saya minta untuk rehat di rumah. Dia pun mahu berada di rumah kerana lebih mudah. Jika malam masih teruk demamnya, perlu dibawa ke hospital lagi," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 3:27pm
d